PORT DICKSON, 6 Sept (Bernama) -- Seorang wanita warga emas maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah bas pekerja di Dataran Segar di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Maslan Udin berkata siasatan awal mendapati kemalangan pada 5.30 pagi itu berlaku di persimpangan lampu isyarat, melibatkan sebuah bas dari arah Port Dickson ke Seremban yang bertembung dengan kereta dipandu mangsa dari arah Dataran Segar ke Lukut.
“Akibat kemalangan itu mangsa berusia 69 tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan meninggal dunia semasa menerima rawatan di zon kecemasan Hospital Port Dickson, manakala pemandu bas lelaki berusia 41 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Maslan berkata kedua-dua kenderaan ditahan untuk pemeriksaan Puspakom dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian sedang diperoleh untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA