DUNIA

MICROSOFT: GANGGUAN KABEL DASAR LAUT DI LAUT MERAH JEJAS RANGKAIAN

07/09/2025 11:15 AM

WASHINGTON, 7 Sept (Bernama-WAM) – Microsoft pada Sabtu mengumumkan bahawa sebahagian pengguna Azure mungkin mengalami kependaman lebih tinggi susulan beberapa kabel fiber optik dasar laut terputus di Laut Merah, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).

Microsoft berkata pengguna Azure mungkin berdepan gangguan lebih ketara apabila trafik dari Timur Tengah berpunca atau berakhir di Asia atau Eropah, menurut kemas kini status kesihatan perkhidmatan syarikat itu.

Beberapa kabel fiber optik dasar laut di Laut Merah mengalami kerosakan serentak pada 6 Sept, sekali gus menjejaskan trafik Internet dan komunikasi global. Walaupun kesambungan masih tersedia, pengalihan semula laluan telah menyebabkan kependaman meningkat dan kesesakan di beberapa laluan utama.

“Gangguan kabel fiber dasar laut mengambil masa untuk diperbaiki; justeru, kami akan sentiasa memantau, mengimbangi semula dan mengoptimumkan penghalaan bagi mengurangkan kesan kepada pelanggan buat sementara waktu. Kami akan terus menyediakan kemas kini harian, atau lebih awal jika keadaan berubah,” menurut Microsoft.

-- BERNAMA-WAM

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan