BERITA TERGEMPAR | Earthquake: 15 government buildings in Segamat suffered minor damage, estimated repair cost is RM550,550 - Ahmad Maslan | |
IPOH, 7 Sept (Bernama) -- Seorang anggota polis berusia 26 tahun cedera selepas ditembak dan ditikam ketika melakukan rondaan cegah jenayah di Simpang Pulai, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata susulan kejadian itu, polis kini giat memburu suspek yang masih bebas dan dipercayai turut terbabit dengan penemuan mayat seorang wanita dalam sebuah kereta yang ditinggalkan di lokasi sama.
Beliau berkata dalam kejadian pada 1.15 pagi itu, sepasukan anggota Balai Polis Simpang Pulai, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh yang menjalankan rondaan cegah jenayah mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di Taman Desa Pakatan.
“Ketika pasukan rondaan cuba menahan kenderaan tersebut, suspek bertindak melarikan diri sebelum berlaku insiden kejar-mengejar hingga kenderaan itu berhenti di kawasan kebun kelapa sawit.
“Dalam usaha membuat tangkapan, berlaku pergelutan antara suspek dan anggota polis. Suspek kemudian merampas pistol milik anggota polis berkenaan lalu menembak mangsa di bahagian perut serta menikamnya sebelum melarikan diri bersama pistol tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Hisam berkata anggota polis berpangkat konstabel itu kini berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kereta suspek menemukan mayat seorang wanita yang identitinya masih belum dikenal pasti di bahagian tempat duduk belakang kenderaan tersebut.
“Bedah siasat akan dijalankan di Unit Forensik HRPB bagi mengenal pasti identiti dan punca kematian wanita berkenaan,” katanya.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 302/307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
“Polis sedang giat mengesan suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, ASP Fadli Ahmad di talian 012-2500019 bagi membantu siasatan,” katanya.
-- BERNAMA