TAWAU, 7 Sept (Bernama) -- Seorang pengamal media veteran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Tawau yang menghadapi masalah kesihatan, menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA hari ini.
Sumbangan tersebut disampaikan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang mengunjungi kediaman wartawan veteran Ismail Lamo, 67, di Taman Victoria, Jalan Kuhara di sini.
Pada kunjungan itu, Fahmi menyerahkan bantuan berupa wang tunai dan barangan sebagai tanda penghargaan atas jasa serta sumbangan Ismail hampir lima dekad dalam dunia kewartawanan.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj yang juga Pengarah Projek HAWANA 2025.
Ismail yang juga penerima ke-29 Tabung Kasih@HAWANA di Sabah, telah berkhidmat secara sambilan dengan Bernama sejak tahun 1979 dan kini menghidap penyakit jantung, tekanan darah tinggi serta kencing manis.
Pada masa ini, beliau perlu menjalani rawatan susulan setiap enam bulan di Hospital Queen Elizabeth 1 di Kota Kinabalu, serta pemeriksaan berkala setiap dua atau tiga bulan di Hospital Tawau.
Inisiatif Tabung Kasih@HAWANA dilaksanakan Kementerian Komunikasi menerusi Bernama yang dilancarkan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, sebagai simbol keprihatinan Kerajaan MADANI dalam mengetengahkan nilai ihsan, empati dan penghargaan terhadap pengamal media.
Hingga kini, seramai 494 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat daripada Tabung Kasih@HAWANA.
Sementara itu, Ismail menzahirkan rasa terima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Bernama kerana terus prihatin membantu pengamal media di negara ini dari aspek kebajikan.
"Terima kasih atas kunjungan menteri untuk menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA, saya sangat terharu," katanya.
Di samping itu, beliau berkata antara tugasan yang tidak dapat dilupakan dan memberikan pengalaman berharga ialah ketika peristiwa penculikan Abu Sayyaf di pulau Semporna, selain insiden pesawat Malaysian Airlines Fokker terhempas di Tawau.
Ismail yang memiliki pengalaman hampir 50 tahun sebagai pemberita di Bernama menasihatkan agar wartawan muda melaksanakan tanggungjawab sebagai pelapor berita yang berintegriti dan tidak mengikut emosi.
-- BERNAMA