AM

KERAJAAN KOMITED PERKASA PENDIDIKAN, PEKERJAAN DAN TARAF HIDUP ORANG ASLI

08/09/2025 12:29 PM

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Kerajaan memberikan jaminan untuk terus memperkasakan taraf hidup masyarakat Orang Asli melalui pindaan undang-undang serta pendekatan baharu supaya mereka mampu berdiri sama tinggi dengan kaum lain di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pengalaman beliau ketika melawat masyarakat Orang Asli Maori di Rotoroa, New Zealand memberikan inspirasi tentang kaedah hak masyarakat peribumi di sana dipulihkan sehingga mampu menguasai industri tenusu, perladangan dan pertanian yang dieksport ke luar negara.

“Insya-Allah kita akan lakukan perkara sama, bukan sahaja melalui pindaan akta, tetapi juga beberapa pendekatan baharu agar taraf kehidupan masyarakat Orang Asli meningkat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Manolan Mohamad yang ingin tahu sasaran kerajaan untuk meningkatkan bilangan petugas Orang Asli dalam Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Ahmad Zahid berkata perkembangan positif juga dapat dilihat apabila jumlah profesional dalam kalangan Orang Asli semakin meningkat, termasuk lebih 20 pemegang ijazah kedoktoran (PhD), lebih lima profesor, selain jurutera, akauntan dan pelbagai bidang lain.

“Ertinya tiada peminggiran, sebaliknya dari segi pendidikan kita meletakkan keutamaan kepada Orang Asli dan mahu mereka terbabit dengan penuh komitmen,” katanya.

Beliau berkata kerajaan turut menyediakan sokongan berterusan kepada pelajar Orang Asli di sekolah rendah dan menengah termasuk kemudahan pengangkutan, elaun poket RM4 sehari dan bantuan lain yang mampu menggalakkan mobiliti sosial.

“Dengan ini, kerjaya yang bakal diperoleh akan membolehkan mereka duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan kaum lain di negara ini. Saya juga ucapkan terima kasih kerana rancangan dan program yang dilaksanakan mendapat sokongan semua pihak, termasuk golongan profesional Orang Asli sendiri,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan asal Senator Shahrol Wizan Sulong mengenai langkah kerajaan bagi meningkatkan peluang pekerjaan untuk belia Orang Asli dalam pelbagai sektor bagi memperkasakan taraf sosioekonomi mereka, Ahmad Zahid berkata tiga pendekatan utama dirangka untuk memperkukuh penyertaan mereka, iaitu melalui ekosistem pendidikan akademik, teknikal serta kursus keusahawanan.

“Ketiga-tiga kategori ini akan menyalurkan para belia untuk bekerja sama ada dalam sektor awam, GLC (syarikat berkaitan kerajaan), GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) mahupun sektor swasta. Kementerian bersama dengan kementerian lain telah menyusun atur saluran-saluran ini agar belia Orang Asli mendapat peluang pekerjaan,” katanya.

Menurut beliau, sejak 2021 hingga 2024, sebanyak 2,913 belia Orang Asli telah ditempatkan sebagai renjer komuniti di bawah Jabatan Perhutanan Semenanjung manakala 37 lagi ditempatkan di agensi lain termasuk HRD Corp, Koperasi Akademik Binaan Malaysia (KOBINA) dan UOA Akademi sejak 2023.

“Di Malaysia Aviation Group, sebanyak lima belia Orang Asli telah diterima sebagai kru kabin pada tahun lepas. Di sektor swasta pula, 45 orang bekerja di Sony sebagai operator pengeluaran, 12 pengawal keselamatan di HRD Corp dan 20 orang di KOBINA pada 2024,” katanya.

Dalam bidang keusahawanan, Ahmad Zahid berkata penglibatan usahawan Orang Asli terus meningkat termasuk melalui program Karnival Usahawan Desa (KUD), iaitu pada tahun lepas sahaja, 243 usahawan Orang Asli terlibat dalam KUD dan Karnival Usahawan Orang Asli (KUOA) dengan merekodkan jualan RM839,000.

“MARA juga melalui platform Biz Network dan program pendigitalan Perniagaan MARA (Digital Biz) melaksanakan latihan e-dagang untuk menguatkan daya saing usahawan Orang Asli. Malah, di bawah Gate to Global MARA, beberapa usahawan telah dibawa memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam konteks perkhidmatan awam, Ahmad Zahid berkata kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhasrat melahirkan lebih ramai tokoh Orang Asli untuk mengisi jawatan kanan di jabatan kerajaan, termasuk di JAKOA.

Beliau turut menegaskan bahawa Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) yang sudah berusia 71 tahun perlu dipinda agar hak masyarakat berkenaan dikembalikan.

“Hal ini kerana hak-hak Orang Asli harus dikembalikan dan peluang pendidikan perlu diperkukuh. Pada 2023 kita sasarkan 400 anak Orang Asli masuk universiti, tetapi berjaya mencapai 418 orang. Tahun 2024 sasaran 450 orang, pencapaian 456 orang. Tahun ini hingga Julai, daripada sasaran 500 orang, sudah 150 berjaya diterima dan yakin angka itu akan melepasi sasaran menjelang hujung tahun,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan