AM

SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN DI EXPO OSAKA: MALAYSIA PERKUKUH PERPADUAN, HUBUNGAN DENGAN JEPUN

08/09/2025 01:24 PM

OSAKA, 8 Sept (Bernama) -- Malaysia meraikan sambutan Hari Kebangsaan di Expo 2025 Osaka dengan mesej kukuh mengenai perpaduan, ketahanan dan kerjasama antarabangsa di samping menekankan hubungan erat negara dengan Jepun.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perjalanan luar biasa negara daripada ekonomi berasaskan komoditi kepada pemain global yang dinamik dalam tempoh kurang daripada tujuh dekad, merupakan bukti pengorbanan generasi terdahulu serta kekuatan rakyatnya yang berbilang kaum.

“Apa yang menjadikan Malaysia unik bukan sahaja kemajuan yang dicapai tetapi juga semangat rakyatnya yang mampu bersatu dalam kepelbagaian, berani menghadapi cabaran dan bersama-sama mengorak langkah,” katanya, yang turut menyentuh visi masyarakat MADANI yang berasaskan enam teras utama iaitu kemampanan, ihsan, hormat, inovasi, kemakmuran dan keyakinan. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Mengenai hubungan dua hala, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata hubungan erat Malaysia dan Jepun yang bermula tidak lama selepas kemerdekaan negara pada 1957 terus diperkukuh menerusi dasar “Pandang ke Timur” yang diperkenalkan pada 1982.

Beliau berkata hubungan tersebut melakar satu lagi pencapaian penting pada Disember 2023 dengan pelancaran Perkongsian Strategik Komprehensif yang meliputi bidang seperti keselamatan, transformasi hijau dan kerjasama global.

“Hari ini lebih 28,000 rakyat Malaysia telah melanjutkan pelajaran ke Jepun dan institusi seperti Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun terus memupuk pertukaran akademik dan budaya.

“Dari segi ekonomi, Malaysia dan Jepun mempunyai hubungan ekonomi yang kukuh dan terus berkembang. Dalam separuh pertama 2025, nilai perdagangan kita meningkat dengan begitu menggalakkan iatu 138.8 peratus, mencecah RM70.41 bilion,” katanya.

Fadillah berkata eksport Malaysia seperti barangan elektronik, minyak sawit dan makanan proses meningkat 79.2 peratus, manakala import seperti jentera dan barang kemas dari Jepun turut merekodkan pertumbuhan yang ketara. 

“Pelaburan Jepun di Malaysia kekal kukuh dengan lebih 2,800 projek pembuatan telah selesai yang mewujudkan 340,000 pekerjaan dan menyumbang kepada 105.9 bilion kepada ekonomi terutama dalam semikonduktor, tenaga bersih dan pembuatan berteknologi tinggi,” katanya. 

Fadillah berkata dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun dan Jepun pula menganjurkan Expo Osaka, mencerminkan peranan kepimpinan kedua-dua negara dalam membantu wacana global. 

“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia komited untuk memajukan sebuah komuniti yang stabil dan makmur, berdaya tahan, inklusif serta berusaha membawa lebih banyak peluang baharu kepada rakyat,” katanya. 

Beliau berkata penyertaan Malaysia dalam Expo 2025 Osaka, yang melengkapkan kitaran sejak penyertaan pertamanya di Osaka pada 1970, mencerminkan keyakinan, kesediaan dan visi berani negara bagi pertumbuhan inklusif serta kerjasama antarabangsa.

Expo 2025 Osaka berlangsung selama enam bulan dari 13 April hingga 13 Okt ini, di pulau buatan Yumeshima di Osaka. Bertemakan "Designing Future Society for Our Lives," ekspo tersebut menampilkan idea inovatif dan teknologi terkini  serta pelbagai pameran dan acara dari seluruh dunia.

--BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan