SEREMBAN, 8 Sept (Bernama) -- Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM3,000 kepada 11 lelaki selepas mereka mengaku bersalah menawarkan perkhidmatan pinjaman tidak wujud pada 26 Ogos lepas.
Kesemua tertuduh berusia antara 19 tahun hingga 41 tahun itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Nurul Saqinah turut memerintahkan kesemua tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda serta mengarahkan semua barang kes diserahkan kepada pihak pendakwaan.
Willie Ngam Tee, Lai Wen Bin, Chee Juen Hoe, Vincent Lim Liang Yik, Jerry Teo Chee, Sim Wee Yung dan Chin Chye Fui didapati berpakat menawarkan perkhidmatan pinjaman tidak wujud dan mendorong mangsa menyerahkan wang kepada mana-mana individu iaitu bertentangan dengan Seksyen 420 Kanun Keseksaan, pada 2.30 petang di sebuah kafe di sini pada 26 Ogos lepas.
Tan Wen Wah, Yong Wai Chua, Chan Zi Cheng dan Jaydi Requiron Teh turut melakukan perkara sama di sebuah premis di sini pada masa dan tarikh sama pada 2.24 petang.
Pertuduhan mengikut Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya P. Rubini memohon mahkamah mengenakan denda maksimum terhadap semua tertuduh sebagai pengajaran.
Peguam Erickka Farrise bagaimanapun memohon denda minimum dikenakan terhadap kesemua anak guamnya memandangkan ini merupakan kesalahan pertama mereka selain tempoh 12 hari dalam lokap semasa tahanan reman telah memberikan pengajaran yang menginsafkan.
-- BERNAMA