KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Malaysia akan menghantar satu lagi pasukan ke Lubnan tahun depan sebelum menamatkan penyertaan dalam misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di negara berkenaan pada penghujung 2026.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata keputusan itu dibuat susulan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada minggu terakhir Ogos lepas meluluskan penyambungan mandat UNIFIL untuk tempoh setahun.
“Ini bermakna kita akan hantar satu pasukan untuk tahun depan dan selepas itu kita (Malaysia) tidak akan ada lagi UNIFIL di Lubnan.
"Kita akan lihat pada proses untuk pengerahan mereka balik dan sebagainya selepas ini,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi di sini, hari ini.
Pada 29 Ogos lepas, Majlis Keselamatan PBB sebulat suara melanjutkan mandat UNIFIL untuk tempoh 16 bulan terakhir, dengan tarikh tamat pada 31 Dis 2026.
Resolusi itu bertujuan memastikan proses pengurangan dan pengunduran secara teratur serta selamat bagi pasukan PBB di Lubnan.
UNIFIL ditempatkan sejak 1978 untuk memantau gencatan senjata di sepanjang sempadan Lubnan-Israel dan menyokong tentera Lubnan di selatan negara berkenaan.
Malaysia mula menyertai misi UNIFIL pada 2006 bagi membantu pasukan pengaman dari lain-lain negara anggota PBB.
Sejak itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara konsisten menghantar pasukan pengaman ke Lubnan termasuk anggota perubatan dan jurutera sebagai sebahagian daripada komitmen negara terhadap usaha PBB mengekalkan keamanan serantau.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata ATM dalam keadaan siap siaga untuk diatur gerak ke Afghanistan bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi yang melanda negara itu, baru-baru ini.
Beliau berkata langkah tersebut bergantung kepada keputusan mesyuarat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) hari ini.
"Kita bersedia dengan sebarang keputusan dan arahan melibatkan ATM.
"Bantuan yang diberikan akan mengikut kepada kesesuaian tempat contohnya seperti di Bangladesh dan Turkiye sebelum ini....kita perlu melihat sama ada perlu melaksanakan Hospital Medan atau menghantar pasukan perubatan," katanya.
Gempa bumi berukuran 6.0 magnitud melanda timur Afghanistan sekitar tengah malam 31 Ogos lepas yang disusuli beberapa gegaran.
-- BERNAMA