SERI ISKANDAR, 8 Sept (Bernama) -- Pekerja kontrak Raja Daniel Iskandar Raja Teh Suhaimi yang maut tertimbus semasa kerja pengorekan tanah dan pemasangan paip di Kampung Teluk Kepayang, Bota Kiri di sini semalam, sempat meminta tolong sebanyak dua kali.
Rakan sekerja arwah yang enggan dikenali berkata bagaimanapun, mereka tidak sempat menyelamatkan Raja Daniel Iskandar, 25, kerana tanah runtuh berlaku kali kedua, yang hanya berselang minit.
“Saya dan dua rakan lain tertimbus tanah pada paras dada, sempat menyelamatkan diri dan sangat trauma dengan kejadian itu,” katanya yang sugul ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Seri Iskandar di sini hari ini
Lelaki itu berkata Raja Daniel Iskandar dari Terengganu dan bekerja dengan syarikat pemasangan paip itu sejak 2019, ada menyuarakan hasrat ke Perak beberapa hari sebelum kejadian.
“Jika diikutkan, kerja pemasangan paip pada fasa akhir untuk siap sepenuhnya dan kami dijangka pulang ke Terengganu selepas itu,” katanya.
Sementara itu, bapa saudara mangsa Wan Fauzi Wan Ahmad, 60, berkata arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Makam Lama, Kuala Terengganu.
Beliau berkata Raja Daniel Iskandar meninggalkan seorang isteri dan anak kembar berusia kira-kira dua bulan.
Semalam, Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata kejadian 5 petang itu melibatkan empat mangsa dengan tiga daripadanya berusia antara 28 hingga 38 tahun tertimbus pada paras dada dan berjaya dikeluarkan 6.30 petang.
Seorang lagi mangsa tertimbus sepenuhnya dan disahkan meninggal dunia di lokasi selepas dikeluarkan pada 7.59 malam.
-- BERNAMA