BUKIT MERTAJAM, 8 Sept (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) akan menyalurkan bantuan sewajarnya kepada keluarga penuntut Politeknik Sultan Abdul Halim (Polimas) Muhamad Amsyar Muqri Mohd Asri, 18, yang meninggal dunia selepas mesin padi dinaikinya terjatuh ke dalam sungai di Kampung Sanglang, Jitra, Kedah, pada Sabtu lepas.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) JPPKK Dr. Shamsuri Abdullah berkata bantuan tersebut merangkumi kewangan, sokongan psikologi dan moral.
“Saya difahamkankan pihak Polimas telah menghubungi keluarga mangsa untuk memberikan apa juga bentuk sumbangan sama ada dari sudut kewangan, psikologi mahupun moral.
“Lazimnya apabila berlaku tragedi sebegini memang kami akan bersama-sama keluarga untuk memberi sokongan dan bantuan yang termampu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Politeknik Seberang Perai (PSP) Kali Ke-24 yang turut dihadiri Pengarah PSP Mohd Ruzi Hamzah.
Terdahulu media melaporkan seorang penuntut Polimas dikhuatiri lemas manakala tiga rakannya terselamat selepas mesin padi dinaiki terjatuh ke dalam sungai di Kampung Sanglang, Jitra, berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang pada Sabtu lepas.
Mayat Muhamad Amsyar Muqri ditemukan pada pukul 10.01 pagi semalam oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di dasar sungai pada kedalaman empat meter, kira-kira 10 meter dari lokasi awal mangsa dilaporkan terjatuh.
--BERNAMA