KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Tingkatan Enam yang berlangsung serentak di seluruh negara hari ini, dilihat sebagai satu platform penting untuk melatih pelajar memahami proses demokrasi dan kepimpinan sejak usia remaja.
Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor Hanisah Mohd Ali berkata pelaksanaan pemilihan itu seiring dengan hasrat Kementerian Pendidikan (KPM) melalui inisiatif memperkasakan pendidikan tingkatan enam serta Pelan Hala Tuju Pendidikan Tingkatan Enam 2024-2030.
“Jadi, asas kepada pertimbangan penubuhan Jawatankuasa Perwakilan Tingkatan Enam ini adalah untuk memastikan suara pelajar itu didengari dan dibawa ataupun diambil kira dalam proses pembuatan keputusan dalam pendidikan di negara kita,” katanya ketika ditemui di Kolej Tingkatan Enam Bandar Utama, Petaling Jaya hari ini.
Hanisah berkata dalam konteks yang sama, platform itu turut merealisasikan falsafah pendidikan kebangsaan dalam membangunkan kemahiran kepimpinan, komunikasi dan tanggungjawab sosial pelajar.
Sehubungan itu, beliau berkata penubuhan jawatankuasa itu dapat memperluaskan jaringan sosial pelajar ke arah memperkasakan kemahiran insaniah dan juga membentuk mereka untuk lebih berdaya saing, terutama setelah bergelar pelajar prauniverisiti.
Hanisah berkata proses pemilihan yang dilaksanakan hari ini bermula di peringkat sekolah sebelum calon terbaik dihantar ke pejabat pendidikan daerah (PPD) bagi penilaian dan seterusnya diangkat ke peringkat negeri.
“Untuk hari ini, proses pemilihan berlaku di peringkat sekolah, kemudian pihak sekolah akan mencalonkan seorang wakil yang terbaik daripada tiga jawatan yang dipertandingkan iaitu bagi jawatan pengerusi, naib pengerusi dan setiausaha.
“Semua pusat tingkatan enam ini akan menghantar seorang calon terbaik kepada PPD, yang akan membuat penilaian dan pemilihan, seterusnya diangkat ke peringkat jabatan pendidikan negeri untuk membuat pemilihan dua calon terbaik, yang akan ada penilaian dan saringan di peringkat ini,” katanya.
Hanisah berkata penilaian semula akan dibuat ke atas dua calon itu di peringkat kebangsaan sebelum Jawatankuasa Perwakilan Tingkatan Enam kebangsaan dibentuk, dan proses itu dijangka selesai pada akhir Oktober ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pendekatan itu adalah latihan awal untuk pelajar memahami proses pilihan raya, selaras dengan kelayakan mengundi yang bermula pada usia 18 tahun.
“Jadi, ini proses untuk membina mereka sebagai seorang warganegara yang bertanggungjawab, sebab mereka akan belajar bagaimana untuk melaksanakan pemilihan, mereka akan menilai sendiri bagaimana calon-calon yang sesuai untuk mereka pilih dan undi dalam pilihan raya kecil ini di peringkat sekolah,” katanya.
Dalam memastikan kelancaran proses pengundian itu, Hanisah berkata Akademi Pilihan Raya turut memberikan sokongan profesional, pandangan dan bimbingan kepada pihak sekolah bagi memastikan prosedur dalam pemilihan berjalan dengan baik dan lancar.
-- BERNAMA