ISKANDAR PUTERI, 8 Sept (Bernama) -- Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan rokok tidak bercukai bernilai lebih RM94,000 dalam Operasi Bersepadu Intra/Inter Agensi-Op Taring Alpha 1 di Lima Kedai, Skudai di sini semalam.
Menurut hantaran di Facebook rasmi PSP hari ini, operasi yang dijalankan pada 12.10 tengah hari itu membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 30 tahun yang memandu sebuah kereta Toyota Camry.
“Pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah rokok pelbagai jenama disyaki tidak bercukai yang disorokkan dalam beberapa kotak berwarna coklat,” menurut hantaran itu.
Turut dirampas wang tunai RM7,364, dua telefon bimbit, sebuah kenderaan serta rokok tidak bercukai dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM94,357.
Suspek ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 74 Akta Eksais 1976.
PSP memaklumkan semua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri untuk tindakan lanjut.
Komander PSP SAC Rosli Md Yusof dipetik dalam hantaran itu berkata kejayaan operasi berkenaan adalah hasil pelaksanaan Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) yang menekankan pendekatan operasi bersepadu pelbagai agensi.
“Op Taring Alpha 1 ini membuktikan kerjasama strategik antara agensi mampu memberikan impak yang besar dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan. Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan dengan cara menyalahi undang-undang,” katanya.
Beliau berkata PSP Bukit Aman akan terus mempertingkatkan usaha risikan, operasi taktikal dan kerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terpelihara.
“Inisiatif ini selaras dengan hasrat PDRM untuk mengekang sebarang kegiatan penyeludupan yang bukan sahaja menjejaskan hasil negara, malah memberi kesan kepada keselamatan dan kesejahteraan masyarakat. Usaha sebegini akan diteruskan secara bersepadu dan berfokus,” katanya.
-- BERNAMA