AM

TADBIR URUS BAIK, PERANGI RASUAH TERAS PACU EKONOMI NEGARA - PM ANWAR

09/09/2025 11:03 AM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Usaha memacu pertumbuhan ekonomi negara tidak akan ke mana jika hanya bersandar kepada kekuatan ekonomi semata-mata, sebaliknya mesti digerakkan seiring dengan tadbir urus yang baik serta tindakan berterusan membanteras ketirisan dan rasuah, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata sejarah membuktikan banyak negara berdepan cabaran apabila membiarkan budaya penyelewengan dan salah guna kuasa berakar umbi, meskipun mempunyai dana, pengaruh dan kekuatan ekonomi.

“Kita bicara tentang perlunya memacu pertumbuhan, tetapi dalam mana-mana negara, kekuatan ekonomi sahaja tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah sekiranya keterlanjuran dari segi ketirisan dan rasuah dibiarkan berterusan.

“Saya ucapkan terima kasih dan penghargaan kepada rakan-rakan (kementerian, GLC, swasta) kerana mereka menunjukkan sikap keberanian dan ketegasan dalam membersihkan jentera sama ada di peringkat kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan atau swasta daripada kebiasaan melanggar peraturan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Persidangan Konfederasi Asia Institut Juruaudit Dalaman (ACIIA) 2025 di sini hari ini.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan