Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menjadi platform penting dalam usaha mempercepat peralihan Malaysia ke arah masa depan berdaya tahan iklim dan dipacu inovasi, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju global bagi pengeluaran minyak sawit mampan, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Sambil menyifatkan pelan lima tahun itu sebagai komprehensif menyeluruh serta berpandangan jauh, Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata ini juga seiring dengan misi agensi itu dalam membangunkan industri sawit yang berdaya tahan, mampan serta berdaya saing.
“Kami menyambut baik komitmen kukuh RMK13 dalam menyemarakkan semula dan memodenkan sektor sawit Malaysia dan komited untuk bekerjasama erat dengan kerajaan, pekebun kecil dan pihak berkepentingan industri bagi memastikan kejayaan pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Ahmad Parveez berkata MPOB turut memuji tindakan kerajaan yang memberi penekanan terhadap usaha pemodenan menerusi aspek mekanisasi, automasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Tumpuan terhadap teknologi maju seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, Internet Benda (IoT) dan pertanian tepat adalah penting bagi meningkatkan lagi hasil, menambah baik kecekapan operasi dan berganjak mengubah sektor ini daripada berintensifkan tenaga buruh kepada berteraskan modal.
“Kesemua inisiatif ini akan menangani kekurangan tenaga buruh, mengurangkan kebergantungan ke atas pekerja asing dan mengukuhkan lagi daya saing Malaysia di peringkat global,” katanya.
Memperkukuh Pensijilan MSPO
Piawaian Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) telah mencatat kemajuan besar, namun perlu terus melakar perubahan untuk kekal relevan dan bersaing di peringkat dunia.
Ahmad Parveez menegaskan antara keutamaan bagi penambahbaikan ini adalah menyelaraskan MSPO dengan keperluan kemampanan global paling ketat seperti rantaian bekalan bebas pembasmian hutan, kebolehkesanan penuh, amalan buruh yang beretika serta perlindungan biodiversiti.
“MSPO 2.0 yang dipertingkat dan diselaraskan dengan penanda aras antarabangsa misalnya, meletakkan minyak sawit Malaysia sebagai produk berkualiti tinggi, mampan serta beretika.
“Selain itu mengukuhkan aspek kebolehkesanan juga penting menerusi MSPO eTrace 2.0 bersama Sistem Pengurusan Sawit Pintar (SIMS) dan GeoSawit yang menyediakan pengesanan rantaian bekalan secara menyeluruh dan pemetaan geo. Ini sekali gus memperkukuh ketelusan dan dapat menarik minat pembeli yang peka alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya.
Beliau berkata ini dapat memastikan keberkesanan dan kelangsungan pensijilan ini selain penjajaran berterusan dengan perubahan keinginan pasaran yang penting.
Menurutnya, ini boleh dicapai melalui penggunaan teknologi canggih seperti IoT, blockchain dan analitik data raya untuk meningkatkan pemantauan dan pengesahan.
“Tidak kurang pentingnya adalah meningkatkan penyertaan pekebun kecil dengan mempermudah pematuhan, menyediakan latihan dan mengukuhkan prinsip ESG di seluruh rantaian bekalan berkaitan.
“Usaha semakan berkala dan promosi aktif MSPO di pasaran antarabangsa dan komitmen industri yang kukuh dan penguatkuasaan tegas, akan terus memelihara dan menjamin reputasi Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit bertanggungjawab serta memastikan pensijilan ini kekal relevan dalam jangka panjang,” katanya.
Program Tanaman Semula Mangkin Perubahan
Kadar penanaman semula di Malaysia secara relatifnya kekal rendah pada purata kira-kira 2.1 peratus yang juga di bawah sasaran optimum empat peratus manakala kadar itu dalam kalangan pekebun kecil persendirian pula lebih rendah -- hanya 0.5 peratus bagi tempoh 2020 hingga 2024.
Sehubungan itu, Ahmad Parveez menyifatkan peruntukan kerajaan sebanyak RM1.4 bilion dalam tempoh lima tahun dengan tumpuan khusus kepada pekebun kecil persendirian sebagai pemangkin perubahan untuk industri sawit negara.
Beliau berkata insentif kewangan seperti Skim Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TSPKS 2.0) yang diperkenalkan oleh MPOB, dapat menangani cabaran utama pekebun kecil seperti pokok sawit tua dan kekangan akses dalam mendapatkan pembiayaan penanaman semula.
“Justeru, dengan membolehkan pekebun kecil persendirian menggantikan pokok sawit tua dengan tanaman baharu lebih tahan dan berpotensi mengeluarkan hasil lebih tinggi, program ini akan meningkatkan produktiviti dan hasil tuaian buah tandan segar.
“Ini dapat memperkukuh asas bekalan minyak sawit Malaysia secara menyeluruh, memastikan jumlah pengeluaran lebih mampan dan stabil serta secara langsung dapat menyumbang kepada jumlah pengeluaran minyak sawit yang lebih berkualiti dan besar,” katanya.
Pada akhirnya, kata beliau, inisiatif ini menjadi pelaburan penting bagi tonggak industri sawit negara yang dapat mendorong pertumbuhan mampan, meningkatkan daya saing dan merangsang eksport minyak sawit Malaysia di peringkat global.
Memaksimumkan Perdagangan, Pematuhan ESG
Pada masa sama, MPOB turut menggesa kerajaan untuk meningkatkan sasaran promosi eksport, disokong oleh ujian pasaran yang teratur selain serta kerjasama kukuh antara kerajaan (G2G).
“Pengoptimuman manfaat perjanjian perdagangan bebas dan meneroka pasaran baharu sedang pesat membangun di Amerika Selatan, Afrika, Timur Tengah dan Eropah Timur menjadi teras dalam mengekalkan pertumbuhan eksport.
“Platform kerjasama serantau seperti Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) dan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia–Filipina (BIMP-EAGA) juga harus dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Ahmad Parveez juga menekankan pembangunan tenaga kerja berkemahiran yang pakar dalam pematuhan ESG, teknologi maju dan keperluan khusus pasaran adalah penting dalam mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai pembekal minyak sawit global yang diyakini, berdaya saing dan mampan.
“Tumpuan terhadap bidang-bidang keutamaan ini akan membolehkan sektor sawit lebih berdaya tahan, mampan dan kompetitif dan seterusnya kekal memberi sumbangan signifikan ke atas ekonomi Malaysia dan keterjaminan makanan global di bawah kerangka RMK13,” katanya.
-- BERNAMA