PUTRAJAYA, 9 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan tiada sebarang aktiviti eksplorasi mineral dijalankan di Sabah oleh syarikat yang dikaitkan dengan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador seperti yang didakwa sebelum ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata siasatan pihaknya mendapati syarikat itu tidak pernah memohon tanah daripada Kerajaan Negeri Sabah, sebaliknya hanya mengemukakan permohonan untuk eksplorasi mineral kepada Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM).
Bercakap dalam sidang media berhubung perkembangan kes SPRM di sini hari ini, Azam berkata permohonan berkenaan hanya kebenaran bersyarat yang diberikan SMM pada Mac 2023, dan bukan kelulusan daripada kerajaan Sabah atau Exco Negeri Sabah.
“Syarikat beliau (Farhash) dikatakan telah menerima kelulusan daripada kerajaan negeri untuk meneroka mineral di Sabah. Siasatan telah dijalankan dan saya memaklumkan bahawa tiada permohonan tanah yang dikemukakan.
“Yang ada permohonan untuk eksplorasi mineral kepada SMM. Pada mulanya SMM telah membenarkan eksplorasi ini secara bersyarat pada Mac 2023 dan syarikat itu perlu mengemukakan dokumen tertentu bagi sebarang kebenaran (sebelum) eksplorasi berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun, Azam berkata oleh kerana syarikat itu gagal mengemukakan dokumen yang diperlukan, permohonan itu dibatalkan pada 21 Mac lepas.
“Jadi sebenarnya tidak ada apa-apa eksplorasi yang telah dijalankan kerana kerana (syarikat) tidak membekalkan dokumen berkenaan,” kata Azam.
Beliau turut mengesahkan siasatan telah berjalan dengan memanggil semua yang terlibat untuk memberi keterangan termasuk daripada SMM dan kerajaan negeri, serta siasatan turut mendapati tiada isu “governans” dalam kes berkenaan.
“Akhirnya Timbalan Pendakwa Raya (TPR) memutuskan tiada kes jenayah yang boleh dikenakan kepada mana-mana pihak, iaitu sama ada di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 ataupun di bawah Kanun Keseksaan atau mana-mana lain. Maka kes ini telah pun ditutup,” katanya.
Dalam perkembangan lain, iaitu berhubung kes rasuah berkait skandal perlombongan Sabah, Azam memaklumkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah bersama Datuk Albert Tei telah dituduh di mahkamah sebelum ini (pada Jun).
“Dan selebihnya enam ADUN itu masih belum ada keputusan daripada TPR,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan lapan ADUN didakwa terlibat dalam kes rasuah itu, bagaimanapun hanya dua ADUN yang dituduh di mahkamah setakat ini.
-- BERNAMA