EKONOMI

ASEAN PERLU PELBAGAIKAN PASARAN BERIKUTAN KELEMBAPAN EKONOMI CHINA - AHLI EKONOMI

09/09/2025 06:41 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Kebergantungan ketara ASEAN terhadap eksport, terutamanya di Malaysia dan Singapura, menimbulkan cabaran apabila kelembapan ekonomi China mula menjejaskan prospek pertumbuhan serantau, kata seorang ahli ekonomi.

Penasihat Ekonomi Kanan KSI Research & Advisory Services Dr Anthony Dass berkata hubungan rapat ASEAN dengan China menjadikan rantau itu terdedah kepada perubahan ekonomi.

“Kita mesti mengakui bahawa nasib ASEAN berkait rapat dengan China, terutamanya pada masa ekonomi China semakin perlahan,” katanya semasa Pembentangan Khas: Tinjauan Ekonomi & Pelaburan - Apa Yang CFO Perlu Perhatikan pada Sidang Kemuncak Kepimpinan Mampan CFO ASEAN di sini hari ini.

Dass yang juga Pengarah Penyelidikan Majlis Penasihat Kelab Ekonomi Kuala Lumpur berkata walaupun ekonomi China mungkin perlahan antara dua hingga tiga peratus dalam beberapa tahun akan datang, Malaysia masih berpotensi mencapai pertumbuhan sekitar empat hingga lima peratus, disokong oleh daya tahan domestik.

Bagaimanapun, beliau berkata bahawa pergantungan berlebihan kepada angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang sering dipacu oleh projek-projek infrastruktur berskala besar mungkin tidak menggambarkan kekuatan ekonomi secara menyeluruh dengan tepat.

“ASEAN mesti aktif mencari alternatif selain China. Inisiatif integrasi perdagangan seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) boleh membantu, tetapi kepelbagaian masih kekal menjadi kritikal,” kata Dass.

Beliau juga berkata ketidakseimbangan struktur dalam perdagangan global, termasuk kapasiti pengeluaran berlebihan dan tenaga kerja yang disubsidi, sedang menjejaskan persaingan, sekali gus menyukarkan syarikat-syarikat ASEAN bersaing dari segi harga.

“Ini adalah cabaran sebenar. Kita tidak seharusnya terlalu bergantung kepada satu negara sahaja. Anda harus sentiasa pelbagaikan,” katanya.

Beliau berkata ASEAN tidak seharusnya bergantung pada satu enjin pertumbuhan sahaja. Walaupun India muncul sebagai pemacu utama, sama seperti China pada awal 2000-an, beliau mengingatkan supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada pasaran itu.

“India juga penting, tetapi ia bukan satu-satunya tumpuan utama. ASEAN harus mempelbagaikan pasaran merentas negara-negara lain, dengan Indonesia dan ekonomi sedang meningkat juga menawarkan peluang yang kukuh,” kata Dass.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan