Daripada Samantha Tan Chiew Tieng
OSAKA, 9 Sept (Bernama) -- Kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini menjadi tumpuan di Pavilion Malaysia semasa Expo 2025 Osaka, apabila pakar serantau dan antarabangsa menyokong peranan negara itu dalam memacu agenda kelestarian Asia Tenggara serta peralihan tenaga di rantau ini.
Profesor Kenta Goto, Penyelidik Kanan Asia Pacific Institute of Research (APIR) dan Profesor di Universiti Kansai, berkata peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN adalah “pada masa yang tepat” untuk mengetuai rantau ke arah pertumbuhan hijau, kelestarian dan pembangunan inklusif.
Beliau menegaskan ASEAN memainkan peranan penting dalam menangani cabaran kelestarian, tetapi kemajuan bergantung kepada kerjasama lebih kukuh di seluruh rantau serta dengan rakan strategik seperti Jepun, China dan Korea di bawah kerangka ASEAN+3.
“Latar belakang Malaysia yang berbilang budaya dan kaum, pengalaman mengharungi pelbagai cabaran serta hubungan kukuh dalam ASEAN dan dengan rakan seperti Jepun menjadikan negara ini sesuai memikul tanggungjawab kepimpinan,” katanya kepada media Malaysia selepas sesi perbincangan panel ‘ASEAN Presents’ sempena Minggu Tenaga di pavilion itu.
Goto berkata mengenal pasti dan memanfaatkan kekuatan setiap negara adalah kunci kepada kerjasama lebih mendalam antara ASEAN dan Jepun di bawah kerangka ASEAN+3.
Sementara itu, Pengarah Perancangan Hiliran dan Kerjasama Ekonomi Antarabangsa Indonesia, Pande Nyuman Laksmi Kusumawati, menekankan kepentingan menyelaraskan Wawasan ASEAN 2045 dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
“Perubahan iklim akan memberi impak langsung terhadap bekalan keperluan asas masyarakat. Dalam ASEAN, negara yang paling terkesan ialah Thailand, Filipina, Malaysia dan Indonesia, dan risiko perubahan iklim juga akan memberi kesan ekonomi yang signifikan,” katanya.
Beliau menambah Indonesia menyeru kerjasama lebih kukuh di peringkat ASEAN bagi menangani perubahan iklim, perubahan demografi dan tekanan ekonomi, sambil menekankan SDGs mesti kekal sebagai asas masa depan rantau ini.
Beliau juga berkata universiti memainkan peranan penting melalui tiga teras utama: pendidikan, penyelidikan dan khidmat komuniti, dalam mencapai SDGs.
Seiring gesaan itu, Pengasas Mercy Malaysia dan Pengarah Eksekutif Sunway Centre for Planetary Health, Tan Sri Jemilah Mahmood, menekankan bahawa kesihatan dan alam sekitar mesti menjadi asas pembangunan ASEAN.
“Malaysia telah menunjukkan model melalui Rancangan Malaysia Ke-13 dan Pelan Tindakan Kesihatan Planet Nasional (NPHAP) yang bakal diperkenalkan. Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia dapat menunjukkan bagaimana kelestarian dan kesejahteraan perlu seiring,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST) Siti Safinah Salleh, berkata Malaysia kini meletakkan diri sebagai destinasi menarik bagi pelaburan dalam tenaga hijau dan bahan peralihan melalui kerjasama, terutamanya dengan syarikat Jepun.
“Fokus kami ialah mempromosi teknologi tenaga hijau yang mampu menarik pelaburan ke Malaysia, sambil menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih cekap. Jepun terkenal dengan amalan lestari, baik dalam industri mahupun pengguna, dan kami berharap dapat mempelajari pengalaman ini,” katanya.
Siti Safinah menekankan dua bidang utama pelaburan: teknologi tenaga hijau seperti biogas dan sisa-ke-tenaga yang mana Jepun sudah maju, serta gas asli yang akan kekal sebagai bahan peralihan penting bagi Malaysia ke arah tenaga lebih bersih.
Pavilion Malaysia di Expo 2025 Osaka kini memasuki minggu ke-22, bertepatan dengan Minggu Tenaga (8-12 Sept).
Program yang diketuai Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES) menampilkan inisiatif Malaysia dalam peralihan tenaga termasuk Pelan Tindakan Peralihan Tenaga Negara (NETR), Grid Kuasa ASEAN dan strategi ekonomi kitaran.
Penyertaan Malaysia di Expo 2025 Osaka, yang berlangsung selama enam bulan dari 13 April hingga 13 Okt, diketuai oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, dengan tema Pavilion Malaysia: Weaving a Future in Harmony.
Sehingga kini, Malaysia mencatatkan kira-kira RM15.6 bilion potensi perdagangan dan pelaburan di expo itu, melebihi sasaran RM13 bilion.
-- BERNAMA