KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Inisiatif Tadbir Urus Global yang dicadangkan oleh Presiden China Xi Jinping menyediakan sistem multilateralisme yang memberi layanan sama rata serta penghormatan kepada negara besar dan kecil, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam wawancara bersama penyampai CGTN Zheng Junfeng, Anwar berkata terdapat elemen kemanusiaan dan nilai yang betul dalam inisiatif itu.
“Tidak ramai pemimpin dunia yang bercakap tentang tamadun, penghormatan dan kemakmuran bersama,” katanya semasa wawancara yang diadakan sempena lawatan kerja beliau ke China minggu lepas.
“Jadi kita ada inisiatif ASEAN, inisiatif China dan kita juga ada BRICS serta Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO),” tambahnya.
Menurut Perdana Menteri, inisiatif-inisiatif itu dapat mengurangkan dan mengimbangi beberapa isu yang boleh menimbulkan perbalahan bukan sahaja yang menjejaskan politik global tetapi juga dari segi melindungi kepentingan ekonomi negara-negara.
Sepanjang lawatan empat hari itu, Anwar turut mengambil bahagian dan menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak SCO Plus di Tianjin, apabila beliau menyeru supaya kepercayaan terhadap sistem multilateralisme diperkukuh dan dipulihkan semula.
-- BERNAMA