Meskipun sudah berusia 17 tahun, mereka tidak malu untuk belajar sukatan pelajaran tahap rendah bersama-sama dengan kanak-kanak yang jauh lebih muda kerana sedar akan kepentingan ilmu untuk masa depan mereka.
Bergelar anak pekerja ladang yang terletak jauh di pedalaman Tawau, Sabah, kumpulan remaja dan kanak-kanak warga Indonesia ini memanfaatkan sepenuhnya peluang pendidikan yang disediakan oleh majikan ibu ayah mereka - syarikat perladangan Sabah Softwoods Berhad (SSB) - menerusi Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC).
Jika beruntung, mereka berpeluang menyambung pendidikan peringkat menengah di negara asal mereka dan seterusnya membaiki nasib keluarga.
Demikian rumusan Denie Afiq Huzamy Husni Sawal, 22, pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) kampus Serdang, Selangor yang menghabiskan seminggu daripada cuti semester pada Ogos lalu di CLC Kalum, Tawau.
"Sepanjang di situ, saya diminta mengajar subjek Sains dan Matematik mengikut sukatan pelajaran Indonesia. Namun, saya tidak menghabiskan banyak masa di dalam kelas, sebaliknya mendidik mereka secara praktikal, iaitu dengan berkebun,” kongsinya dengan Bernama melalui Google Meet baru-baru ini.
Denie Afiq merupakan antara 20 mahasiswa UPM kampus Serdang dan kampus Sarawak yang menyertai program Jiwa Putra di CLC Kalum, hasil kerjasama UPM, SSB dan Konsulat Indonesia di Tawau.
Program itu menggabungkan pendidikan akademik, kesedaran sosial dan interaksi budaya serumpun dengan fokus membina empati, perpaduan serta nilai kemerdekaan melalui khidmat masyarakat.
DARI BUKU TEKS KE REALITI LADANG
Menurut Denie Afiq, cabaran utama mengajar anak-anak tersebut ialah bahasa, namun diatasinya dengan menggunakan alat bantuan visual serta bertutur lebih perlahan.
“Kalau mereka masih tidak faham, saya dapatkan bantuan Pak Agil,” ujarnya. Pak Agil atau Agil Ridho Bima Anggara ialah Pengelola CLC SSB.
pic-2
Bercerita lanjut, mahasiswa jurusan pertanian itu berkata dia menggemblengkan sukatan pelajaran dengan kegiatan berkebun bagi menarik minat anak-anak CLC berkenaan untuk belajar ilmu baharu.
“Contohnya, ketika saya ajar mereka tentang fotosintesis, saya terus kaitkan dengan pokok yang mereka tanam. Bila masuk bab Matematik, saya gunakan contoh pengiraan hasil ladang. Mereka nampak ilmu itu berguna, bukan hanya teori semata-mata,” jelasnya sambil tersenyum.
Selain itu, dia juga memperkenalkan kaedah pertanian baharu termasuk bertani tanpa cangkul dan pembuatan baja kompos agar murid dapat mengaitkan pembelajaran akademik dengan realiti kehidupan mereka.
"Mereka sangat bersemangat untuk belajar. Walaupun sesi persekolahan hanya dari 7 hingga 11.30 pagi, mereka sering mendekati kami semasa rehat atau selepas kelas untuk bertanya soalan ataupun sekadar beramah mesra.
“Kami juga ajar mereka perkara-perkara lain seperti hasilkan video motivasi dan dialek di Semenanjung agar mereka berasa terangkum,” jelasnya.
MENYEMAI PERPADUAN NUSANTARA
Seorang lagi peserta Nur Airin Nerina Muzaffah, melihat peluang mendekati anak-anak pekerja ladang itu sebagai satu ruang buatnya mendalami kebudayaan Indonesia sambil memupuk silaturahim serumpun.
Anak muda asal Sabah ini yang juga penuntut tahun dua jurusan Sains Kimia UPM Serdang, berkongsi ilmu kesenian dan kebudayaan dengan anak-anak CLC Kalum, mengikat ukhuwah dua generasi muda dari dua negara tetangga.
Menurutnya, antara pengalaman bermakna ketika mendidik anak-anak CLC Kalum ialah mengajar mereka tarian tradisional.
“Pada awalnya ramai yang malu, tetapi selepas didorong mereka akhirnya tampil dengan penuh yakin,” kongsinya dengan Bernama.
Nur Airin Nerina berkata dia juga berasa terharu dengan keterbukaan yang ditunjukkan oleh anak-anak CLC Kalum dalam menerima kehadiran peserta Jiwa Putra.
“Mereka sangat ramah dan menghargai guru. Yang paling diingati antaranya momen mereka menawarkan makanan yang dimasak sendiri atau mengajar kami bahasa Indonesia.
“Di situ saya belajar bahawa perpaduan tidak lahir daripada slogan semata-mata, tetapi daripada pertemuan hati dan rasa hormat sesama insan,” ujarnya, menambah antara makanan tradisional yang sempat dirasainya ketika di Kalum ialah pantolan (bebola daging), iaitu satu daripada makanan kegemaran anak-anak CLC itu.
MURAL DAN SUARA ANAK-ANAK CLC
Sepanjang seminggu di situ, kumpulan 20 pelajar UPM ini turut menyiapkan mural setinggi tiga meter di dinding sekolah bersama-sama dengan anak-anak CLC Kalum.
“Lukisan mural itu menggabungkan pelbagai imej ikonik seperti bangunan ibu pejabat SSB, Menara Yayasan Sabah, Gunung Kinabalu dan logo CLC Kalum. Di tengah-tengah mural, ada peta Malaysia-Indonesia yang disatukan dengan bendera, batik serta watak-watak tradisional.
pic-5
“Slogan Malaysia MADANI dan ungkapan ‘Bhinneka Tunggal Ika’ (bahasa Jawa kuno bermaksud berbeda-beda tetapi tetap satu juga) terpampang jelas,” celah Denie Afiq.
“Di sini saya belajar kemerdekaan bukan sekadar satu perayaan, tetapi tentang bagaimana kita memerdekakan orang lain dengan ilmu, kasih sayang dan peluang,” ujarnya lagi.
Bagi anak-anak di CLC Kalum pula, kehadiran “abang-abang dan kakak-kakak” UPM membakar semangat mereka untuk meneruskan persekolahan.
“Mereka ajar kami macam-macam, buat kami semakin bersemangat untuk terus sekolah sampai besar,” kata mereka.
Jelas seronok dapat belajar seperti rakan sebaya di tempat lain, anak-anak pekerja ladang ini melihat CLC itu sebagai tempat mereka mengeratkan persahabatan sesama sendiri ketika ibu bapa sibuk bekerja di ladang.
“Kalau tiada sekolah ini susah kami mahu belajar,” kata Nurul, seorang murid berusia 12 tahun.
PENDIDIKAN SEBAGAI PELABURAN SOSIAL
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SSB Datuk Mohd Daud Tampokong menjelaskan penubuhan CLC untuk anak-anak pekerja syarikat sebagai satu bentuk pelaburan jangka panjang yang bukan sahaja memberi manfaat kepada anak-anak terbabit, tetapi juga masa depan negara, baik Malaysia ataupun Indonesia.
Menurutnya, syarikat itu membelanjakan kira-kira RM5.4 juta bagi membina dan mengoperasikan enam buah CLC, iaitu di Kalum, Kapilit, Kumansi, Mawang, Bukit Tukok dan Banita - kesemuanya di Tawau.
pic-3
“CLC ditubuhkan kira-kira 15 tahun lalu. Tiga daripadanya telah lama beroperasi sementara tiga lagi baru sahaja siap dan beroperasi.
“Keseluruhannya, enam CLC ini memberi manfaat kepada 621 anak pekerja di ladang kami,” katanya, menambah CLC diwujudkan dengan kerjasama Konsulat Indonesia di Tawau.
Di CLC Kalum misalnya, terdapat 178 murid berusia enam hingga 17 tahun.
“CLC ini ditunjangi 20 guru terlatih tetap dengan 16 daripadanya ialah rakyat Malaysia. Melalui usaha ini, kita berharap pelajar dapat meneruskan pendidikan di Indonesia atau Sekolah Indonesia Kota Kinabalu,” jelas Agil Ridho yang juga guru besar CLC Kalum.
Mengulas program Jiwa Putra, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM Prof Dr Arifin Abdu berkata menerusi projek itu, mahasiswa didedahkan kepada aktiviti kemasyarakatan dalam usaha universiti melahirkan siswazah yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga berjiwa rakyat dan bersedia menjadi ejen perubahan.
“Program Jiwa Putra diadakan sejak 2024 bagi memberi peluang kepada mahasiswa UPM untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan di seluruh negara, bukan sahaja di CLC. Kami pernah terlibat dalam misi banjir, membantu mangsa kebakaran dan lain-lain,” katanya.
pic-4
Menurut beliau, menerusi kerjasama dengan SSB dan Konsulat Indonesia di Tawau itu, program Jiwa Putra diadakan di setiap CLC namun secara bergilir.
“Kali ini di Kalum, akan datang di CLC lain kerana kami mahu mahasiswa kami memahami realiti masyarakat pedalaman,” katanya kepada Bernama.
Menurut beliau, sejak awal pelaksanaannya, program Jiwa Putra menerima sambutan menggalakkan daripada mahasiswa dan juga komuniti setempat yang dibantu.
“Dengan itu kita harap Jiwa Putra boleh menjadi program berpanjangan yang memberi kesan mendalam kepada mahasiswa dan komuniti setempat,” katanya.