AM

YAYASAN ECO WORLD SEDIA KAPSUL ILMU, POD AKTIVITI PEMBELAJARAN MURID

10/09/2025 04:23 PM

KLANG, 10 Sept (Bernama) -- Yayasan Eco World terus komited menyokong dasar pendidikan negara dengan menaja sebuah kapsul ilmu yang juga perpustakaan mini, dan pod aktiviti kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ying Wah, Kapar di sini bagi kegunaan warga sekolah.

Pegerusi Yayasan Eco World Tan Sri Lee Lam Thye berkata inisitaif itu bertujuan memupuk minat membaca dalam kalangan murid termasuk memberi inspirasi kepada proses pembelajaran generasi muda, khususnya dalam menempuh era dunia digitalisasi.

"Sebagai sebahagian daripada Yayasan Eco World, Eco Sanctuary memberi tajaan penuh berjumlah RM42,000 bagi menjayakan kapsul ilmu ini, yang berjaya disiapkan dalam masa hanya tiga minggu sekali gus membuktikan dedikasi berterusan pasukan kami terhadap pendidikan negara.

"Kapsul ilmu ini bukan hanya boleh menjadi tempat membaca sahaja, malah mampu mendorong tahap perkembangan rasa ingin tahu dalam diri masing-masing sebagai seorang penuntut ilmu yang teruja untuk meneroka pelbagai cabang ilmu," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran kapsul dikenali "Knowledge Capsule" di SJKC Ying Wah, di sini hari ini.

Lee berkata kapsul itu turut memberi peluang kepada warga pendidik sekolah berkenaan untuk membimbing murid menerusi pelbagai aktiviti seperti bercerita dan perkongsian ilmu sebagai satu daripada kaedah memperkaya sesi pembelajaran dalam bilik darjah.

Beliau berkata SJKC Ying Wah ialah sekolah ketiga menerima kapsul ilmu yang sama daripada pihaknya tahun ini dengan jumlah keseluruhan sumbangan mencecah RM162,000.

"SJKC Ying Wah dipilih kerana 20 murid mereka berada dalam senarai Program Bantuan Pelajar Yayasan Eco World yang setakat ini telah memberi manfaat kepada 2,000 pelajar di seluruh negara. Jadi kita bantu mereka yang kurang berkemampuan untuk menimba ilmu.

"Oleh itu, saya harap semua murid dapat menghargai dan memanfaatkan sepenuhnya kapsul ilmu ini termasuk memastikan ia dijaga dengan baik agar murid tahun mendatang boleh mendapat manfaat yang sama," katanya.

Terdahulu, majlis penyerahan kapsul ilmu itu dihadiri Guru Besar Low Chee Xiang, Pengerusi Lembaga Pengelola Lim Teng Huat, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Lee Biau Gan dan Pengerusi Persatuan Alumni Tan Cheng Yap serta warga SRJKC Ying Wah.

Kapsul ilmu direka khas sebagai pod pembelajaran menggunakan konsep terbuka dilengkapi pendingin hawa, kemudahan tempat duduk di lantai dan perabot ringkas, namun berfungsi mewujudkan ruang yang selesa dan menarik.

Ditempatkan secara strategik di tengah-tengah kawasan sekolah serta bersebelahan kantin dan dewan, kapsul ilmu boleh diakses oleh murid sepanjang waktu rehat setiap hari bermula 10 pagi.

Selain itu, setiap kelas juga diperuntukkan sejam setiap minggu untuk menggunakan kapsul berkenaan bagi menjalankan aktiviti membaca atau pembelajaran lain.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan