KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Penempatan dan tugasan pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang terlibat dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah diselaraskan, sementara siasatan dijalankan bagi memastikan urusan pentadbiran harian kekal lancar.
DBKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa mereka memandang serius sebarang isu berkaitan integriti, ketelusan dan tadbir urus.
“Komitmen DBKL adalah untuk memastikan setiap urusan pentadbiran dilaksanakan secara telus, berakauntabiliti dan berintegriti, selaras dengan nilai perkhidmatan awam yang berteraskan amanah rakyat,” menurut DBKL dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata empat individu ditahan menerusi Ops DBKL termasuk seorang pegawai kanan gred Jusa B, manakala 16 individu telah dirakam percakapan.
SPRM sebelum ini dilapor menyita wang tunai lebih RM200,000, empat peranti telekomunikasi, dua unit kenderaan jenis Lexus RX500H serta Mini Cooper, beg tangan serta kasut berjenama Hermes dan Louis Vuitton dalam siasatan kes itu.
-- BERNAMA