PUTRAJAYA, 10 Sept (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meneruskan semakan terhadap keputusan terdahulu yang membenarkan mahkamah mendengar permohonan semakan oleh banduan yang sudah menerima pengampunan hukuman mati.
Panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Farid Wan Salleh membuat keputusan majoriti 4-1 untuk membenarkan permohonan berkenaan.
“Kami berpandangan bahawa kebenaran sewajarnya diberikan dan dengan itu kami membuat perintah tersebut,” katanya ketika menyampaikan keputusan.
Hakim yang bersetuju dengan keputusan majoriti ialah Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais; Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim; dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi.
Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang pula menentang.
Prosiding penuh semakan itu ditetapkan pada 27 Okt depan di hadapan panel hakim berbeza.
Pada prosiding itu nanti, mahkamah akan menentukan sama ada Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) untuk menyemak keputusan Lembaga Pengampunan.
Perkara itu berpunca daripada keputusan Mahkamah Persekutuan pada 27 Ogos lepas, apabila panel lain memutuskan dengan majoriti 2-1 bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar semakan tiga banduan mengikut akta berkenaan.
Keputusan majoriti ketika itu dibuat oleh Hakim Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal (yang sudah bersara) dan Datuk Hanipah Farikullah, manakala Hakim Datuk Nordin Hassan menentang.
Kes terbabit melibatkan G Jiva, 55; warga Thailand, Phrueksa Taemchim, 41; dan warga Zambia, Mailesi Phiri, 48, yang sebelum ini dijatuhi hukuman mati kerana kesalahan mengedar dadah, namun kemudiannya menerima pengampunan daripada Lembaga Pengampunan.
Ketiga-tiga mereka diberikan hukuman penjara 30 tahun bermula dari tarikh pengampunan. Mereka kemudian memfailkan semakan di bawah Akta 847 untuk meminta tarikh hukuman dikira semula bermula dari tarikh tangkapan. Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan mereka.
Berikutan keputusan Ogos lepas, pihak pendakwaan memfailkan permohonan di bawah Peraturan 137, Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 untuk mendapatkan kebenaran menyemak semula keputusan majoriti itu.
Pendakwaan berhujah bahawa hakim majoriti telah bertindak melampaui bidang kuasa serta menegaskan banduan yang sudah menerima pengampunan tidak boleh disamakan dengan banduan yang masih menunggu hukuman mati atau banduan yang dijatuhi penjara seumur hidup, justeru tidak layak memfailkan semakan di bawah Akta 847.
Kes asalnya membabitkan empat banduan, namun semakan terhadap seorang lagi banduan, P Balakrishnan, digugurkan selepas pihak pendakwaan gagal menyerahkan notis permohonan kepadanya.
Balakrishnan sudah dibebaskan selepas selesai menjalani hukuman.
Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Saiful Edris Zainuddin. Phrueksa diwakili peguam K Simon Murali; Mailesi oleh Abdul Rashid Ismail; manakala Jiva oleh Datuk N Sivananthan.
-- BERNAMA