KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Ibu bapa perlu peka terhadap gejala ringan seperti demam, sakit perut atau batuk pada anak-anak kerana ia boleh menjadi petanda awal jangkitan sepsis.
Pakar Perubatan Kanak-Kanak dan Rawatan Rapi Kanak-Kanak di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) Dr Olive Lee Pei Ee berkata sepsis bukan sekadar jangkitan biasa, sebaliknya ia mencetuskan tindak balas imun yang tidak normal dan boleh merebak ke seluruh tubuh tubuh.
Beliau menjelaskan bahawa jangkitan ini biasanya bermula dengan simptom ringan seperti demam, sakit perut atau batuk, tetapi boleh merebak dengan cepat, menyebabkan keradangan seluruh badan dan kegagalan organ dalam masa beberapa jam.
“Kadangkala, gejala hanya dapat dilihat melalui perubahan tingkah laku yang ketara. Kanak-kanak mungkin kelihatan lebih letih, menyendiri, atau tidak seperti kebiasaan – petunjuk halus yang mudah terlepas pandang.
“Sekiranya kanak-kanak menjadi terlalu mengantuk, sukar dikejutkan, muntah setiap kali makan, atau tiba-tiba kurang responsif dan tidak bermaya, ia boleh menjadi tanda awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Dr Lee berkata sesak nafas, perubahan suhu badan yang ketara serta tubuh yang lembik juga menandakan keadaan serius.
Sekiranya suhu badan terlalu panas atau terlalu sejuk, simptom tidak berkurangan selepas tiga hari mengambil ubat, atau gejala berlarutan, kanak-kanak perlu dibawa ke hospital segera untuk rawatan lanjut.
Menurut kajian bersama penyelidik dari Thailand dan Singapura pada 2021 berdasarkan data Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), kadar sepsis di rantau ini dianggarkan sekitar 20 peratus, berkemungkinan lebih tinggi sehingga 50 peratus.
Katanya, kajian itu turut mencatat kadar kematian 19.2 peratus dalam kalangan kanak-kanak dengan sepsis tahap kritikal atau kejutan septik.
Pendaftaran Neonatal Kebangsaan Malaysia (MNNR) pula merekodkan hampir 1,000 kes sepsis awal dalam kalangan bayi baharu lahir antara 2015 hingga 2020, kebanyakannya berpunca daripada jangkitan bakteria Kumpulan B Streptococcus.
Dalam pada itu, Dr Lee menjelaskan bahawa langkah pencegahan paling berkesan untuk melawan jangkitan itu ialah dengan menjaga kebersihan harian seperti kerap mencuci tangan, pengendalian makanan yang selamat dan memastikan persekitaran sentiasa bersih, selain vaksinasi yang mampu mewujudkan imuniti kelompok.
“Ibu bapa juga perlu berwaspada terhadap penggunaan antibiotik secara berlebihan. Jika kita mula menggunakan antibiotik untuk semua orang, ia akan mengakibatkan rintangan antibiotik. Sepsis yang berpunca daripada jangkitan di hospital lazimnya sukar untuk dirawat,” katanya.
Justeru, penggunaan antibiotik secara berhemah, digabungkan dengan vaksinasi dan amalan kebersihan, dapat membantu mengurangkan risiko jangkitan yang berpotensi membawa kepada sepsis, katanya.
Bagi proses pemulihan, Dr Lee berkata ia boleh mengambil masa berminggu atau berbulan, dan berisiko menimbulkan komplikasi atau dikenali sebagai sindrom pasca-sepsis. Sindrom ini boleh menjejaskan keupayaan fizikal, kognitif dan aspek psikososial pesakit.
“Kanak-kanak mungkin mengalami kelemahan otot, trauma emosi atau psikologi, serta gangguan perkembangan. Sebahagian daripada mereka memerlukan pemantauan kesihatan berterusan, termasuk pemeriksaan fungsi buah pinggang atau organ lain.
“Golongan berisiko tinggi termasuk bayi baru lahir, kanak-kanak dengan penyakit kronik, dan mereka yang mengalami obesiti,” katanya.
-- BERNAMA