KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Seramai 18,000 peserta dijangka menyertai edisi kesembilan Keretapi Sarong 2025 bertemakan 'Serumpun', yang akan berlangsung di ibu negara pada Sabtu ini.
RapidKL, selaku penaja utama program itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan perjalanan Keretapi Sarong 2025 akan bermula dari 10 stesen Rapid KL sebelum ke Stesen Bukit Bintang dan Stesen Tun Razak Exchange, seterusnya bergerak beramai-ramai ke destinasi kemuncak di sebuah lokasi rahsia.
Sepuluh stesen permulaan itu adalah laluan Kelana Jaya-Subang Jaya-Gombak; Ampang/Sri Petaling- Kinrara BK5, Ampang, Hang Tuah; Kajang-Muzium Negara, Kajang, Mutiara Damansara dan laluan Putrajaya- Sri Damansara Sentral, UPM.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad Amir Hamdan dalam kenyataan sama menyifatkan program Keretapi Sarong sebagai meraikan identiti rakyat Malaysia.
"Dengan sarong sebagai simbol kebanggaan budaya, acara ini juga menggalakkan rakyat untuk memilih pengangkutan awam sebagai sebahagian daripada gaya hidup moden dan lestari," katanya.
RapidKL turut memaklumkan edisi tahun ini yang turut menampilkan LOCCO sebagai penaja utama, akan menyaksikan persembahan tarian, pertunjukan fesyen pakaian tradisional, permainan interaktif dan pelbagai aktiviti menarik di stesen-stesen utama.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari laman www.myrapid.com.my, mengikuti laman media sosial Rapid KL, aplikasi MyRapid PULSE atau hubungi 03-7885 2585.
-- BERNAMA