AM

PINDAAN AKTA FINAS 1981 DIBENTANG DI DEWAN RAKYAT OKTOBER INI - FAHMI

11/09/2025 12:52 PM

KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) – Pindaan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) 1981 (Akta 244) dijadual dibentang untuk bacaan kali pertama di persidangan Dewan Rakyat bulan depan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata pindaan itu bertujuan menambah baik akta berkenaan agar pembangunan industri perfileman tempatan kekal relevan dan seiring dengan keperluan semasa.

“Antara lain, ia bukan sahaja untuk memastikan akta selaras dengan perkembangan teknologi terkini, tetapi juga menitikberatkan kebajikan mereka yang bekerja dalam bidang perfileman agar lebih tersusun dan teratur.

“Saya turut meminta Finas dan kementerian mengadakan sesi libat urus awal dengan Ahli Parlimen supaya mereka memahami usaha ini demi kebaikan industri filem yang kini berdepan pelbagai cabaran, sekali gus menjamin kelestarian dan kemampanan masa depannya,” katanya.

Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan TAR UMT FCCI Film Festival 2025 – Alkisah: The Wonders of Asian Folklore di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata pindaan komprehensif itu merupakan yang pertama selepas sekian lama, berikutan keperluan mengemas kini akta tersebut agar terus relevan.

Beliau menjelaskan pindaan itu turut melibatkan isu keanggotaan Lembaga Pengarah Finas yang sebelum ini menimbulkan kekangan kepada penggiat seni untuk terlibat secara aktif.

“Antara isu yang dihadapi sebelum ini ialah ramai penggiat seni enggan menyertai lembaga pengarah Finas kerana terdapat kekangan tertentu. Contohnya, mereka atau ahli keluarga mereka tidak boleh menerima sebarang geran sekiranya dilantik sebagai ahli lembaga.

“Justeru, perkara ini perlu diharmonikan berdasarkan maklum balas daripada pihak industri,” katanya sambil menegaskan penglibatan wakil industri penting bagi memastikan lembaga pengarah benar-benar memahami realiti semasa.

Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan turut meneliti kontrak berkaitan Dana Kandungan Kreatif (DKK) di bawah Kementerian Komunikasi dan Finas bagi memastikan penerima geran memelihara kebajikan pekerja mereka.

Dalam ucapan perasmiannya, Fahmi menyeru rakyat Malaysia termasuk pelajar dan pembikin filem muda supaya terus berkongsi serta menghasilkan karya yang mengangkat tema keamanan, perpaduan dan kepelbagaian sebagai usaha memperkukuh identiti nasional.

“Dalam bulan memperingati kelahiran negara dan pembentukan Malaysia ini, saya amat menggalakkan anda semua untuk terus menjadi pencerita tentang keamanan, perpaduan, masyarakat kita, kepelbagaian, serta harapan, aspirasi dan masa depan negara kita,” katanya sambil menambah bahawa penceritaan tidak terbatas kepada filem semata-mata, sebaliknya turut terserlah dalam kehidupan seharian.

Fahmi berkata Bulan Kebangsaan, yang merangkumi Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, seharusnya menjadi medan untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Malaysia ialah rumah kita. Inilah masa depan kita. Kita perlu mempertahankannya bersama. Kita mesti terus hidup dalam suasana aman dan harmoni.

“Banyak kerja yang perlu dilakukan, namun itulah proses pembinaan negara. Ia adalah proses tanpa noktah. Kita mesti terus menuturkan kisah Malaysia dengan cara kita sendiri menuju masa depan,” katanya.

Fahmi turut mengalu-alukan penganjuran festival filem seumpama itu yang dilihat memberi peluang pelajar menimba pengalaman dalam penerbitan filem serta memudahkan mereka memasuki alam pekerjaan.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan