PENAMPANG, 11 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki tertimbus dalam tanah runtuh yang menghempap sebuah rumah di Kampung Sarapung di sini petang tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sabah ketika dihubungi Bernama memaklumkan pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 6.10 petang tadi memaklumkan dua individu terlibat dalam kejadian itu.
Menurutnya seorang daripada mangsa iaitu seorang wanita berjaya diselamatkan oleh orang awam dan dalam keadaan stabil.
Beliau berkata identiti kedua-dua individu itu belum dikenal pasti berikutan kesukaran pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Penampang untuk sampai ke tempat kejadian.
“Pasukan bomba mengalami kesukaran untuk sampai di lokasi berikutan berlaku tanah runtuh dan arus air (banjir) yang deras. Maklumat mangsa masih belum diperolehi,” katanya.
-- BERNAMA