JENAYAH & MAHKAMAH

DOKUMEN MM2H PALSU: PEGAWAI IMIGRESEN DIPENJARA LAPAN TAHUN, DENDA RM150,000

12/09/2025 01:56 PM

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Seorang pegawai imigresen dihukum penjara lapan tahun dan denda RM150,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah memalsukan dokumen perjalanan Pas Malaysia My Second Home (MM2H) bagi tujuan penyeludupan migran melibatkan seorang lelaki warga Vanuatu, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Shamsudin Ishak, 51, di akhir kes pembelaan.

“Setelah meneliti pembelaan dikemukakan tertuduh dan keseluruhan keterangan dalam kes ini pada tahap maksimum seperti dikehendaki undang-undang, saya berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. 

“Sehubungan itu, tertuduh didapati bersalah sebagaimana pertuduhan dan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun berkuat kuasa hari ini serta denda RM150,000. Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh akan dipenjara setahun,” kata hakim itu.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam T. Harpal Singh yang mewakili Shamsudin untuk menggantung pelaksanaan hukuman penjara sementara memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan dan mahkamah menaikkan jaminan daripada RM15,000 kepada RM30,000 dengan seorang penjamin.

Dalam rayuan terhadap hukuman, Harpal memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman penjara minimum dengan alasan ia kesalahan pertama tertuduh, selain anak guamnya menzahirkan kekesalan dan memohon maaf kepada mahkamah.

“Tertuduh yang telah berkhidmat selama 27 tahun baru sahaja menjalani beberapa pembedahan serius pada lengan kiri hingga menampakkan tulang dan masih memerlukan rawatan susulan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman pula memohon mahkamah mengenakan hukuman berat, memandangkan tertuduh adalah penjawat awam yang diamanahkan untuk menjaga keselamatan serta mengawal sempadan negara.

“Tertuduh telah mengkhianati amanah dan tanggungjawab dengan melakukan kesalahan bertentangan dengan fungsi serta jawatannya. Jabatan Imigresen merupakan agensi utama mengawal kemasukan serta keberadaan migran di Malaysia, dan tindakan tertuduh telah mencemarkan nama baik institusi itu serta menjejaskan integriti keseluruhan agensi.

“Ini adalah penyalahgunaan jawatan untuk tujuan jenayah peribadi. Ia bukan kesalahan biasa kerana tertuduh menggunakan kapasiti rasmi bagi menghasilkan dokumen palsu bagi penyeludupan migran. Jenayah ini bukan sahaja serius, malah berpotensi menggugat keselamatan negara, ekonomi dan ketenteraman awam,” katanya.

Haslinda turut memaklumkan bahawa kes ini merupakan yang pertama disiasat, dibicarakan dan disabitkan di bawah Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007

Perbicaraan kes itu bermula November 2022 dengan 14 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan Memberi keterangan.

Pada 7 Mac lepas, Hakim Azhar memerintahkan Shamsudin membela diri atas pertuduhan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Shamsudin yang kini digantung tugas, didakwa memalsukan dokumen perjalanan Pas MM2H bagi seorang lelaki warga Vanuatu, Li Xingqiang, bagi tujuan memudahkan penyeludupan migran. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat unit MM2H, Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya, pada Jun 2022, mengikut Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan