AM

NAIK TARAF JAMBATAN PATAU-PATAU 1 SIAP SEMBILAN BULAN AWAL DARIPADA JADUAL - AHMAD MASLAN

12/09/2025 06:06 PM

LABUAN, 12 Sept (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menyiapkan projek menaik taraf jambatan konkrit Patau-Patau 1, di sini sembilan bulan lebih awal daripada dijadualkan, sekali gus membolehkan kesalinghubungan selamat dan cekap kepada lebih 2,000 penduduk kampung di penempatan air itu.

Projek bernilai RM11.1 juta yang bermula pada Oktober 2023 itu pada asalnya dijadualkan siap pada Mac tahun hadapan.

Penyerahan projek daripada Pengarah JKR Labuan Mohd Faizul Mohd Ali Hanapiah kepada Perbadanan Labuan yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Sukuran Taib, disaksikan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan di sini hari ini.

Ahmad berkata projek berkenaan melibatkan usaha memperkukuh struktur jambatan sepanjang empat kilometer menggunakan teknologi konkrit ultra berprestasi tinggi (UHPC) bagi memastikan proses pembinaan yang lebih tahan lama dan lebih pantas.

“Pencapaian itu menunjukkan kerjasama erat antara JKR, Perbadanan Labuan, kontraktor, ketua kampung serta komuniti setempat.

“Penyiapan projek ini lebih awal memperlihatkan kejayaan pengurusan yang teliti, perancangan cekap serta komunikasi yang berkesan,” katanya sambil menambah jambatan terbabit mampu meningkatkan mobiliti, keselesaan, keselamatan penduduk serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

Ahmad berkata kejayaan itu juga mencerminkan aspirasi Malaysia MADANI dengan memastikan  infrastruktur awam disediakan dengan berintegriti, cekap dan memberi manfaat nyata kepada rakyat.

Beliau turut meninjau kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan di Bangunan Asrama Perempuan, Blok A dan Blok B serta kerja-kerja berkaitan lain di Kolej Vokasional Labuan.

Projek bernilai RM10.8 juta itu yang bermula pada Ogos 2024 dan dijadual siap pada November 2026, katanya telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 69 peratus, jauh melebihi sasaran asal iaitu 20 peratus.

“Kami optimis ia boleh disiapkan sepenuhnya menjelang akhir 2025, hampir setahun lebih awal daripada jangkaan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Faizul berkata skop kerja berkenaan merangkumi pembaikan struktur, penggantian sistem pembetungan, pemasangan kelengkapan elektrik baharu, sistem pencegahan kebakaran dan pembinaan pagar keselamatan.

“Apabila siap, ia akan memanfaatkan lebih 130 pelajar perempuan terutama dari segi keselesaan dan keselamatan semasa persekolahan mereka,” katanya.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan