PUTRAJAYA, 12 Sept (Bernama) -- Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memeterai kerjasama rasmi melalui perjanjian Prosedur Koordinasi Perkhidmatan Trafik Udara (ATSCP) bagi memperkukuh keselamatan penerbangan, meningkatkan kecekapan operasi dan daya tahan ruang udara negara.
Majlis menandatangani kerjasama itu melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud dan Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip berlangsung di Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) di Sepang, Selangor.
Menerusi perjanjian itu, CAAM dan MetMalaysia mewujudkan kerangka kukuh untuk pertukaran data meteorologi secara masa nyata melalui platform dalam talian bersepadu yang boleh diakses pengawal trafik udara.
“Platform ini membolehkan ramalan cuaca lebih tepat, maklum balas lebih pantas terhadap fenomena cuaca buruk serta koordinasi lebih baik antara pengawal trafik udara dan juruterbang dalam membuat sebarang keputusan,” menurut CAAM dalam kenyataan hari ini.
Malaysia yang terletak di tengah rantau Asia Pasifik, merupakan antara hab penerbangan paling sibuk di rantau ini, dengan corak cuaca di garisan Khatulistiwa sering berubah dan sukar diramal.
Faktor itu manjadikan penting untuk negara mempunyai kaedah ramalan cuaca lebih maju serta kelancaran perkongsian maklumat bagi memastikan operasi penerbangan selamat dan efisien.
CAAM memaklumkan pelaksanaan ATSCP membawa pelbagai manfaat kepada industri penerbangan seperti juruterbang menerima maklumat cuaca tepat dan terkini bagi menyokong sebarang keputusan dalam penerbangan menjadikannya lebih selamat dan bermaklumat.
“Pengawal trafik udara dengan akses kepada maklumat sahih lebih bersedia mengurus aliran trafik, mengurangkan kelewatan serta mengatasi kesesakan ruang udara negara yang sibuk,” menurut kenyataan itu.
Syarikat penerbangan pula menikmati peningkatan kecekapan operasi melalui laluan penerbangan lebih optimum sekali gus menjimatkan bahan api, mengurangkan kos operasi dan menyokong kelestarian alam sekitar.
“Paling utama, langkah kerjasama ini memperkukuh daya tahan Malaysia dalam mengurus keadaan cuaca buruk serta memastikan keselamatan penumpang, kru dan komuniti penerbangan kekal menjadi keutamaan,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Norazman menyifatkan kerjasama itu sebagai kejayaan penting mencerminkan komitmen dua organisasi dalam mewujudkan sistem penerbangan lebih selamat, efisien dan mampan.
“Maklumat meteorologi nadi utama bagi kelancaran dan keselamatan operasi penerbangan. Dalam era perubahan iklim global dan cuaca semakin tidak menentu, keperluan perkongsian data pantas, komunikasi jelas dan kerjasama erat antara CAAM dan MetMalaysia lebih kritikal berbanding sebelum ini,” katanya.
Selain itu, kerjasama itu memperkukuh pematuhan negara terhadap piawaian dan amalan disyorkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) sekali gus mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai negara penerbangan bertanggungjawab dan progresif.
“CAAM dan MetMalaysia turut menegaskan komitmen terhadap inovasi, kebolehsuaian dan khidmat awam serta akan terus meneroka bidang kerjasama baharu yang dapat menyokong pertumbuhan industri penerbangan Malaysia.
“Selain itu, kerjasama ini juga dilihat berupaya membantu meningkatkan pengalaman perjalanan bagi pengguna ruang udara di samping memastikan tahap keselamatan tertinggi kepada penumpang, kru dan komuniti penerbangan secara keseluruhan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA