JENAYAH & MAHKAMAH

WARGA EMAS RUGI LEBIH RM300,000 AKIBAT "PHONE SCAM"

12/09/2025 07:06 PM

KUCHING, 12 Sept (Bernama) -- Seorang pesara wanita kerugian RM334,964 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan phone scam yang menyamar sebagai pihak berkuasa.

 Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata mangsa berusia 64 tahun membuat laporan semalam, mendakwa menerima panggilan kononnya daripada pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan dan polis. 

“Suspek memberitahu mangsa terlibat sindiket penipuan dan perlu membuat pengesahan harta dengan memindahkan semua wang simpanan ke akaun bank diarahkan bagi tujuan siasatan. 

“Mangsa membuat transaksi pindahan wang di kaunter bank, melibatkan wang simpanan peribadi dan pinjaman daripada saudara,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd Farhan berkata wanita itu hanya sedar ditipu selepas membuat semakan dan pengesahan.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan