KOTA KINABALU, 13 Sept (Bernama) -- Mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 391 orang daripada 126 keluarga petang ini, berbanding 378 orang daripada 117 keluarga pagi tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan mangsa banjir meningkat di Penampang dengan 244 mangsa daripada 76 keluarga, manakala mangsa banjir berkurangan di Beaufort dengan 147 mangsa daripada 50 keluarga.
Di Penampang, pusat pemindahan sementara (PPS) Kompleks Sukan Penampang menempatkan 39 mangsa daripada sembilan keluarga, Dewan Huguan Siau (146 mangsa, 48 keluarga) dan Sekolah Kebangsaan St Paul Kolopis (59 mangsa, 19 keluarga).
Sementara itu, semua mangsa banjir di Beaufort dipindahkan ke pusat pemindahan kekal (PPK) di Selagon.
“Sebanyak 22 kampung terjejas akibat banjir, dengan 14 kampung di Penampang dan lapan di Beaufort,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA