IPOH, 13 Sept (Bernama) -- Sembilan individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang wanita dalam sebuah kereta di Simpang Pulai minggu lepas, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata semua mereka termasuk seorang wanita dilepaskan sementara menunggu arahan lanjut pihak pendakwaan dengan siasatan masih diteruskan.
“Polis telah menahan reman semua suspek sejak Isnin dan hari ini, polis menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk membebaskan mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pada 8 Sept, semua suspek berusia antara 30 hingga 70 tahun direman seminggu bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat tersebut dan kes menembak serta menikam seorang anggota polis.
Kejadian menyebabkan anggota polis berusia 26 tahun dari Balai Polis Simpang Pulai dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.
Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302/307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
-- BERNAMA