BALING, 13 Sept (Bernama) -- Penganjuran program seperti Karnival Kita MADANI memberi peluang kepada rakyat mendapatkan informasi sahih dan mengetahui program disediakan Kerajaan Persekutuan untuk rakyat.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata penganjuran program seperti itu juga membolehkan masyarakat mendapatkan penjelasan perkara yang betul dan tidak daripada pihak sepatutnya.
Ini kerana perkembangan teknologi canggih mempercepat penyampaian maklumat kepada penduduk termasuk di luar bandar.
“Namun maklumat boleh dikategorikan kepada cerita benar, separuh benar atau fitnah yang kemudiannya dihimpunkan dan menjadi tular.
“Dalam dunia kini sukar membezakan yang betul dan tidak. Minoriti yang mungkin terdiri dari tiga individu buat content (kandungan) dan sebarkan manakala yang mendengar dan melihat, puluhan atau ratusan ribu orang,” katanya.
Mahdzir berkata demikian semasa berucap merasmikan Karnival Kita MADANI X Program MADANI Rakyat (PMR) di Dataran Awam Kampung Lapang dekat sini hari ni.
Turut hadir Pengarah Kanan Pengurusan Jabatan Penerangan Malaysia Naim Fahmi Ahmad Tajuddin dan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kedah Nurazila Azizan.
-- BERNAMA