SUKAN

PIALA FA: TERENGGANU BANGKIT SINGKIR IMIGRESEN, SELANGOR KENDURI GOL

14/09/2025 12:09 AM

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Terengganu FC mara ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan Imigresen FC 3-0 pada aksi kedua pusingan 16 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, malam ini.

Pemain sayap Muhammad Akhyar Rashid menjadi watak penting apabila meledak dua gol untuk membantu kemaraan tuan rumah dengan keputusan agregat 4-2.

Terengganu yang tumpas 1-2 dalam perlawanan pertama 17 Ogos lepas, terus melancarkan asakan demi asakan bagi merobek gawang Imigresen sebaik perlawanan bermula.

Usaha mereka membuahkan hasil apabila penyerang kelahiran Cameroon Junior Sam Ngong membuka tirai jaringan pada minit ke-17 selepas bijak memanfaatkan bola muntah berikutan penjaga gol lawan Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin gagal menangkap kemas rembatan deras Nurillo Tukhtasinov.

Muhammad Akhyar kemudian menggandakan jaringan juara dua kali itu menerusi gelecekan cantik dari sebelah kiri padang sebelum melepaskan lencongan rendah ke gawang gol pada minit ke-31 dan terus cemerlang melebarkan kedudukan buat Sang Penyu pada babak kedua selepas menyambut hantaran Sam Ngong pada minit ke-51.

Keputusan berkenaan menyaksikan Terengganu bakal berdepan pemenang di antara Kuching City FC atau DPMM FC pada aksi suku akhir.

Sementara itu, hatrik penyerang import dari Brazil Chrigor Moraes pada masa kecederaan babak pertama dan dua gol pada separuh masa kedua (minit ke-76 dan ke-80) membantu Selangor FC berpesta gol ke atas Malaysian University 9-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya sekali gus mengesahkan slot ke suku akhir dengan agregat 12-1.

Tonggak pertahanan Kevin Deeromram turut mencuri tumpuan apabila menyumbat dua gol dengan membuka tirai jaringan buat Gergasi Merah pada minit ke-12 disusuli minit ke-48.

Empat lagi jaringan skuad kendalian Kinoshi Katsuhito disumbangkan pemain pertahanan Quentin Cheng pada minit ke-21, pemain import Alvin Fortes pada minit ke-55 serta dua pemain gantian Zach Clough masing-masing pada minit ke-70 dan Ahmad Zikri Mohd Khalili pada masa kecederaan babak kedua.

Menanti Selangor di peringkat suku akhir adalah Negeri Sembilan FC yang menyingkirkan PDRM FC dengan keputusan agregat 5-1.

Terdahulu, komisioner perlawanan Mohd Azhar Ahmad menangguhkan aksi di antara Sabah FC dan Bunga Raya FC selepas air bertakung di atas permukaan padang susulan hujan lebat di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Sabah memiliki kelebihan selesa selepas membelasah Bunga Raya 6-0 pada aksi pertama pusingan 16, 17 Ogos lepas.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan