AM

BELANJAWAN 2026 DIHARAP RANCAKKAN SEKTOR PELANCONGAN WILAYAH PERSEKUTUAN SEMPENA TMM2026 - DR ZALIHA

14/09/2025 11:01 AM

PUTRAJAYA, 14 Sept (Bernama) -- Pembentangan Belanjawan 2026 pada Oktober ini diharap memberi tumpuan kepada usaha merancakkan sektor pelancongan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata sesi libat urus telah diadakan dengan Kementerian Kewangan (MoF) bagi menyampaikan hasrat dan keutamaan pihaknya untuk tahun hadapan.

“Kali ini kita memberi tumpuan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah Wilayah Persekutuan dan mahu terus membangunkan Labuan, khususnya dalam menggalakkan sektor pelancongan.

“Selain itu, kita juga menuju ke arah TMM2026. Banyak program yang sedang dirancang untuk dilaksanakan termasuk usaha mencantikkan bandar raya Kuala Lumpur bagi menarik lebih ramai pelancong,” katanya kepada pemberita selepas pelepasan peserta FT Run Putrajaya 2025 di sini hari ini.

Dr Zaliha berkata beliau berharap MoF dapat memberi pertimbangan sewajarnya terhadap usaha Jabatan Wilayah Persekutuan dalam memajukan Kuala Lumpur sempena TMM2026 dan menampilkan imej terbaik ibu negara bagi menarik pelancong dalam dan luar negara.

Belanjawan 2026 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Okt ini. Ia merupakan siri keempat Belanjawan MADANI yang dirangka untuk memulihkan daya tahan fiskal, memperkukuh asas ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Belanjawan kali ini akan terus menelusuri tiga tonggak utama Ekonomi MADANI iaitu menaikkan siling pertumbuhan negara, meningkatkan lantai taraf hidup rakyat dan memacu pembaharuan khususnya dalam tatakelola yang baik.

Mengenai FT Run Putrajaya anjuran Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) dan Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha berkata program itu berjaya menarik hampir 2,000 peserta bagi larian sejauh lima kilometer.

“Program ini bertujuan menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan komuniti, selari dengan visi Bandar CHASE, khususnya komponen Healthy City, yang mendapat sambutan baik daripada penduduk Putrajaya,” katanya.

Visi Bandar CHASE adalah untuk mentransformasi ketiga-tiga Wilayah Persekutuan menjadi bandar yang Clean (bandar bersih), Healthy City (bandar sihat), Advanced City (bandar maju), Safe City (bandar selamat) dan Eco Friendly City (bandar mesra alam).

-- BERNAMA 



 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan