GEORGE TOWN, 14 Sept (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) siap siaga memastikan keselamatan dan kelancaran sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth, dekat sini pada 16 Sept.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata penugasan pegawai dan anggota bagi memastikan keselamatan pengunjung pada sambutan mencukupi.
“Anggota bertugas juga ditempatkan di beberapa lokasi dan jalan menghala ke pusat konvensyen untuk memastikan kelancaran lalu lintas,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini.
Azizee berkata tiada jalan ditutup atau dilencongkan, namun laluan masuk ke PICCA ditukar daripada dua hala kepada sehala pada hari sambutan.
Orang ramai diingatkan mematuhi arahan petugas keselamatan sepanjang sambutan supaya keadaan kekal terkawal.
Sambutan Hari Malaysia 2025 bertemakan "Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni" melibatkan pelbagai pengisian program menarik.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan sambutan itu, yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Sambutan Hari Malaysia tahun ini berlangsung di Pulau Pinang, selaras dengan amalan penggiliran lokasi antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung setiap tahun.
-- BERNAMA