KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Beregu lelaki remaja negara Muhammad Faiq Haziq Masawi-Lok Hong Quan muncul juara Kejohanan Badminton Siri Antarabangsa Malaysia 2025 yang berlangsung di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri, Johor, hari ini.
Juara pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 itu menepati status selaku pilihan utama kejohanan apabila menundukkan pasangan Korea Selatan, Kim Jae Hyeon-Lee Sang Won, 21-16, 19-21, 21-14, dalam pertarungan sengit tiga set yang mengambil masa 62 minit.
Kejayaan itu menyaksikan pasangan berusia 19 tahun itu membawa pulang hadiah wang tunai USD720 (kira-kira RM3,027), manakala lawan mereka meraih USD420 (sekitar RM2,018).
faiq-Lok seterusnya bakal beraksi pada Masters Indonesia 2025 di Riau, Indonesia dan dijadual menentang pasangan Taiwan, Bo-Yuan Chen-Tang Kai Wei dalam pusingan kelayakan.
Saingan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton (BWF) bertaraf Super 100 itu akan bermula Selasa ini hingga 21 Sept ini.
-- BERNAMA