JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS SAHKAN KES LELAKI DITEMUKAN MENINGGAL DUNIA DI ANAK SUNGAI TIADA UNSUR JENAYAH

14/09/2025 09:27 PM

IPOH, 14 Sept (Bernama) -- Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan berhubung penemuan mayat seorang lelaki di anak sungai di kawasan Air Rengat, Temenggor dekat Gerik, semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Abdul Samad Othman berkata hasil bedah siasat mendapati terdapat sedikit koyakan pada bahagian kepala mangsa yang dipercayai akibat terjatuh dari tempat tinggi.

“Setakat ini siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti identiti mangsa. Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu kira-kira 9.10 pagi daripada Polis Bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Temenggor.

Seorang lelaki Orang Asli berumur 32 tahun telah ternampak mayat berkenaan berada di dalam sungai ketika melalui kawasan berkenaan.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan