Oleh Muhammad Fawwaz Thafiq
BUTTERWORTH, 16 Sept (Bernama) -- Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia 2025, pengunjung hari ini berpeluang mengimbas kembali sejarah gemilang negara melalui Pameran “Menelusuri Zaman” yang berlangsung di Ruang Legar Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth.
Pameran yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu membawa pengunjung menelusuri warisan negara melalui pelbagai artifak bersejarah, dokumen asal, replika serta peralatan tradisional yang membangkitkan nostalgia kehidupan masyarakat terdahulu.
Menurut Jurucakap Jawatankuasa Pameran Hari Malaysia 2025 Azizah Zainon, objektif utama pameran adalah untuk mendekatkan orang ramai dengan warisan negara.
“Kita ada pelbagai pameran menarik mengenai sejarah Hari Malaysia dan juga sedikit sejarah Pulau Pinang. Ada paparan video, audio interaktif, artifak, replika, peta lama serta dokumen asal.
“Kita juga bawakan pelbagai perabot dan peralatan lama, selain demonstrasi masakan zaman dahulu seperti ubi kayu, pulut, ikan masin dan kuih tradisional,” katanya ketika ditemui Bernama di PICCA hari ini.
Beliau berkata pengunjung turut berpeluang melihat pameran pakaian dan peralatan tradisional termasuk seterika arang, lampu lama, mesin taip serta tong sahara atau lebih dikenali sabagai “tong haji” yang pernah digunakan jemaah haji Malaysia ketika menaiki kapal laut untuk ke Tanah Suci.
Turut menarik perhatian rakyat berbilang kaum pada sambutan tahun ini ialah artifak lama yang dipamerkan koleksi Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang termasuk peta lama Bandar George Town dan akhbar The Straits Echo bertarikh 16 Sept 1963, iaitu tarikh keramat pembentukan Malaysia.
Selain itu, pameran turut diserikan dengan aktiviti menarik seperti pertandingan mewarna keluarga sejak pukul 10 pagi yang mendapat sambutan hangat daripada pengunjung, khususnya kanak-kanak serta pertandingan kuiz interaktif Kahoot dengan pelbagai cenderamata kepada pemenang.
“Pertandingan mewarna ini istimewa kerana melibatkan satu keluarga dengan tiga peserta dan pemenang menerima hadiah misteri manakala untuk pertandingan kuiz Kahoot pula kita sediakan pelbagai cenderahati termasuk barangan elektronik,” katanya.
Pameran berkenaan turut menampilkan penyertaan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang mempamerkan koleksi foto bersejarah Hari Malaysia.
Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga tampil dengan reruai Kempen Internet Selamat manakala Radio Televisyen Malaysia (RTM) membawa pameran peralatan audio antik seperti piring hitam lama dan pemain piring hitam klasik.
“Barang-barang antik ini sangat berharga kerana peralatan ini ialah kegunaan utama masyarakat pada masa dahulu. Apabila generasi muda melihatnya, mereka akan lebih menghargai kesusahan orang dahulu berbanding kemudahan yang kita nikmati sekarang,” katanya.
Pameran “Menelusuri Zaman” berlangsung seawal 9 pagi sehingga selesai acara kemuncak sambutan Hari Malaysia 2026 malam ini.
Pengunjung boleh melawat Zon Pameran Bertema yang dibahagikan kepada tiga bahagian, iaitu Zon A (zaman sebelum merdeka meliputi artifak, replika dan video kehidupan rakyat), Zon B (era kemerdekaan menampilkan tokoh, rakaman laungan Merdeka dan keratan akhbar), serta Zon C (zaman selepas merdeka hingga kini termasuk foto pembangunan negara dan akhbar pembentukan Malaysia 1963).
Bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, sambutan akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premiernya Tan Sri Abang Johari Tun Openg, serta Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis popular tanah air pelbagai kaum termasuk Ratu Rock negara Ella bersama Suki Low, Roshini Balachandran, selain artis dari Sabah dan Sarawak, iaitu Dabra Sia dan Rezza Shah.
Edisi kali ini diadakan di Pulau Pinang, selaras dengan amalan penggiliran lokasi sambutan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia setiap tahun.
-- BERNAMA