AM

AI PERKASA SEKTOR AWAM, BANTU CEGAH RASUAH - KSN

18/09/2025 01:17 PM

SEPANG, 18 Sept (Bernama) -- Teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin penting untuk dimanfaatkan dalam sektor awam bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti khususnya dalam sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata dalam konteks pencegahan rasuah, keupayaan AI menganalisis ribuan data atau big data membolehkan ia mengesan corak transaksi kewangan mencurigakan dan memberi amaran awal mengenai kemungkinan wujud penyelewengan yang membawa kepada risiko rasuah.

"Sasaran Malaysia untuk menjadi negara berteraskan AI menjelang 2030 sepertimana yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) menuntut seluruh warga dalam sektor awam untuk bersiap siaga menghadapi cabaran tatakelola di era AI," katanya  ketika berucap pada perasmian Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan kali keempat di sini hari ini.

Shamsul Azri berkata di era Revolusi Industri 4.0 dengan kepantasan perkembangan teknologi pintar, AI telah membawa perubahan besar dalam cara berkomunikasi, bekerja dan membuat keputusan.

"Penggunaan teknologi AI dalam pencegahan rasuah semakin meluas di peringkat global khususnya dalam sektor awam, perolehan dan penguatkuasaan.

"Korea Selatan contohnya, telah memperkukuh sistem e-perolehan melalui Sistem e-Perolehan Dalam Talian Korea yang menggunakan AI dan blok rantai untuk meningkatkan ketulenan dokumen dan mencegah manipulasi perolehan," katanya.

Shamsul Azri berkata Suruhanjaya Antirasuah dan Hak Sivil Korea Selatan (ACRC) juga telah membangunkan Platform Ramalan Diagnosis Risiko AI bagi menilai risiko dan mengesan sistem tidak berintegriti serta mengancam keselamatan orang awam yang merupakan satu pendekatan proaktif yang baik.

Beliau berkata kerajaan telah meletakkan sasaran untuk mencapai kedudukan ke-25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033 dan indeks itu menjadi perhatian utama pelabur asing serta rakan dagang antarabangsa.

"Persepsi yang diukur bukan hanya tentang rasuah semata tetapi sejauh mana tatakelola baik diamalkan dalam sesebuah negara.

"Selaras dengan matlamat tersebut, kita sebagai penjawat awam memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan setiap tindakan yang diambil berlandaskan peraturan dan prinsip tatakelola yang baik," katanya.

Shamsul Azri juga berkata persepsi positif terhadap sektor awam bukan sahaja mencerminkan kualiti perkhidmatan yang diberikan adalah baik tetapi turut menggambarkan peningkatan terhadap kepercayaan awam, kelestarian pembangunan negara dan kunci kepada kestabilan sosial.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pengumuman RMK13 telah menekankan tatakelola baik sebagai kunci untuk mencapai pembangunan inklusif dan mampan yang melibatkan pentadbiran cekap, telus serta adil dalam penyampaian perkhidmatan awam selain reformasi fiskal dan transformasi digital.

Justeru, Shamsul Azri berkata bagi menyokong hasrat itu, Teras Keberhasilan Reformasi pertama yang diberikan tumpuan dalam Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam ialah Penghayatan Nilai dan Tatakelola.

"Aspirasi ini hanya akan tercapai sekiranya kita semua sebagai penjawat awam kekal komited, profesional dan bekerja sebagai satu pasukan dalam menangani pelbagai isu negara termasuk rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan," katanya.

Beliau berkata Malaysia terus melangkah ke hadapan dalam reformasi perkhidmatan awam yang menekankan tatakelola baik melalui penambahbaikan inisiatif sedia ada dan perundangan baharu termasuk Akta Kebertanggungjawaban Fiskal, Pindaan Akta Audit 1957, Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan, Pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan Akta Perolehan Kerajaan.

Persidangan dua hari anjuran Anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Institut Integriti Malaysia itu bertemakan "Pembanterasan Rasuah: Bertunjangkan Tatakelola Baik dan Pembudayaan Integriti".

Ia merupakan platform untuk berkongsi ilmu, strategi serta amalan terbaik dalam memperkukuh tatakelola, membudayakan integriti dan membanteras rasuah. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan