AM

200 MEGAWATT BEKALAN TENAGA ELEKTRIK DISALUR KE PANTAI TIMUR SABAH

18/09/2025 12:15 PM

KOTA KINABALU, 18 Sept (Bernama) -- Sebanyak 200 megawatt (MW) bekalan tenaga elektrik disalurkan dari pantai barat ke pantai timur Sabah melalui talian penghantaran 275kv Kolopis-Segaliud yang kembali beroperasi semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd Datuk Mohd Yaakob Jaafar berkata talian penghantaran itu disambungkan pada 8.10 malam selepas pemasangan menara sementara (ERS) berjaya dilakukan.

"Dari Kolopis-Segaliud, kita selaraskan dengan Sandakan Island melalui pencawang masuk utama (PMU) Seguntor di Pelabuhan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Sandakan.

"Dari Segaliud, Sandakan bekalan elektrik disalurkan ke PMU Dam Road, Lahad Datu bagi menampung keperluan di Tawau Island," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Sabah Electricity menggunakan operasi dua island iaitu Sandakan Island dan Tawau Island bagi menangani gangguan bekalan elektrik di pantai timur Sabah.

"Tawau Island melibatkan Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau manakala Sandakan Island membabitkan Beluran, Kinabatangan serta Sandakan," katanya.

Mohd Yaakob berkata pemulihan tenaga elektrik itu sekali gus dapat mengatasi masalah bekalan air di Sandakan akibat kekurangan tenaga elektrik di Loji Air Segaliud.

Beliau berkata Sabah Electricity juga akan memastikan saluran bekalan pencawang pembahagian utama (PPU) akan dilaksanakan dengan segera di Tawau bagi mengatasi bekalan elektrik di daerah itu.

"Kita jangkakan lapan hari untuk memulihkan bekalan elektrik di pantai timur Sabah tetapi berjaya dipulihkan dalam tempoh empat hari dan jutaan terima kasih kepada semua,” katanya.

Mohd Yaakob turut menzahirkan rasa sedih apabila kehilangan seorang rakan dan warga kerja Sabah Electricity di kawasan Keningau baru-baru ini. 

Pada Sabtu lepas, kawasan pantai timur Sabah mengalami gangguan bekalan selepas dua talian penghantaran 275kV Kolopis-Segaliud terputus akibat menara tumbang susulan kejadian tanah runtuh di Kampung Kolopis, Penampang.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan