AM

REFORMASI PARLIMEN PERKUKUH AKAUNTABILITI DEMOKRASI MALAYSIA - PM

18/09/2025 03:53 PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata reformasi Parlimen yang sedang berlangsung di Malaysia adalah penting bagi memperkukuh akauntabiliti demokrasi dan memastikan sistem tadbir urus yang benar-benar mencerminkan aspirasi rakyat.

Beliau berkata beberapa inisiatif utama seperti penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025, penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen dan pengenalan sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) sebagai pencapaian penting yang mencerminkan peralihan ke arah ketelusan serta akauntabiliti lebih besar dalam proses Parlimen Malaysia.

Anwar juga berkata dengan sokong kuat Speaker Dewan Rakyat dan Speaker Dewan Negara, Malaysia telah berjaya melaksanakan antara reformasi paling beraninya iaitu menerusi Akta Perkhidmatan Parlimen.

“Malaysia telah memulakan beberapa agenda reformasi ini, dan saya berbangga untuk menyatakan bahawa dengan sokongan kedua-dua Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara, kita telah memperkenal satu perubahan yang sangat radikal iaitu Akta Perkhidmatan Parlimen, satu pencapaian luar biasa kerana institusi Parlimen kini bebas sepenuhnya daripada pengurusan kerajaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Anwar berkata reformasi itu mendapat sokongan dwipartisan dengan kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang bersetuju tentang kepentingannya dalam memperkukuh kebebasan Parlimen.

Beliau berkata satu lagi langkah penting ialah penubuhan Jawatankuasa Pilihan yang melibatkan penyertaan wakil rakyat kerajaan serta pembangkang bagi menyediakan mekanisme semak dan imbang selain memastikan bahawa Parlimen benar-benar mewakili suara semua pihak.

Perdana Menteri juga berkata pengenalan sesi PMQT telah meletakkan kerajaan di bawah pengawasan lebih ketat kerana beliau perlu memberikan jawapan secara langsung berhubung isu penting setiap minggu.

“Pada awalnya, saya sendiri tidak pasti sama ada saya membuat keputusan yang tepat tetapi kini saya terikat dengannya setiap minggu... namun, setelah menilainya secara peribadi, saya harus katakan bahawa ia adalah satu wacana yang sihat.

“Ia membuatkan Perdana Menteri dan kerajaan sentiasa berhati-hati dan inilah yang memberikan makna sebenar kepada apa yang kita panggil sebagai akauntabiliti demokrasi,” katanya.

Ketika mengulangi erti sebenar demokrasi, Perdana Menteri berkata ia bukan sekadar membabitkan pilihan raya yang diadakan setiap empat atau lima tahun.

Sebaliknya, beliau berkata demokrasi adalah proses berterusan yang menyaksikan parti pemerintah perlu bersikap terbuka untuk dipersoal, dikritik dan dinilai oleh rakyat serta bertanggungjawab bagi segala komitmen yang telah dibuat.

Dalam ucapannya, Anwar mengingatkan Ahli-Ahli Parlimen bahawa akauntabiliti adalah terpakai kepada semua dan wakil rakyat yang dipilih harus berkhidmat demi kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi.

“Hormatilah sumpah jawatan anda dan semangat akauntabiliti serta hak rakyat untuk bertanya… sememangnya, dalam era yang dikawal dan dipengaruhi media sosial ini, ada ketikanya rakyat boleh dikelirukan.

“Namun begitu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin demi menunaikan amanah dan sumpah jawatan yang telah kita ikrarkan,” katanya.

Anwar turut mengakui peranan Speaker dalam mengekalkan ketertiban di kedua-dua Dewan dan berkata sebagai Perdana Menteri, beliau tetap terikat dengan keputusan mereka.

Beliau berkata peranan utama Parlimen ialah untuk mencerminkan dan melindungi aspirasi rakyat kerana kuasa yang tidak dikawal dengan baik boleh membawa kepada berlakunya gejala rasuah.

“Kuasa sering kali membawa kepada kerosakan, dan kuasa yang mutlak pula pasti membawa kepada kerosakan sepenuhnya, ini bermakna kita harus berhati-hati dan meminta mereka yang berkuasa agar lebih bertanggungjawab berbanding yang lain,” katanya.

Menyentuh mengenai AIPA, Perdana Menteri berkata forum itu mencerminkan inti pati akauntabiliti demokrasi dengan menggalakkan wacana berasas dalam perhimpunan di peringkat nasional dan tempatan.

Beliau berkata ini termasuk memperkasa Speaker yang kompeten, menggalakkan pertukaran pendapat yang sihat menerusi perbahasan dan jawatankuasa serta memastikan bahawa Parlimen terus fokus kepada pembangunan negara dan kebajikan rakyat.

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah dan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul serta Ahli-Ahli Parlimen. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan