AM

PARLIMEN ADALAH KUNCI KEPADA INTEGRASI ASEAN - PRESIDEN AIPA

18/09/2025 06:01 PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Parlimen perlu menerajui usaha integrasi serantau bagi memastikan keamanan, kestabilan dan pertumbuhan inklusif di Asia Tenggara, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat merangkap Presiden Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) Tan Sri Dr Johari Abdul.

Beliau berkata pelbagai pencapaian pada Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung baru-baru ini menyerlahkan kepentingan peranan aktif Parlimen dalam memastikan kejayaan inisiatif serantau menerusi penelitian dasar, proses ratifikasi domestik dan pelaksanaan undang-undang yang berkesan.

“Pencapaian pada Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini membuktikan betapa pentingnya Parlimen dalam mendukung usaha integrasi serantau... dalam suasana yang semakin mencabar, integrasi serantau bukan lagi pilihan sebaliknya amat penting.

“Kesemua inisiatif menuntut penelitian, proses ratifikasi domestik dan pelaksanaan undang-undang yang akhirnya akan dipantau oleh Parlimen masing-masing,” katanya ketika berucap pada AIPA ke-46 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Johari turut mengingatkan Ahli Parlimen tentang tanggungjawab asas mereka iaitu membawa suara rakyat serta menegaskan bahawa keabsahan dan kelangsungan Parlimen sebagai institusi demokrasi bergantung sepenuhnya kepada sejauh mana amanah ini dipelihara.

“Kita terjun ke dunia perkhidmatan awam demi menabur bakti dan membawa suara rakyat terutama bagi mereka yang sukar untuk didengari.

"Legitimasi, relevan malah kelangsungan kita sebagai institusi demokrasi bergantung kepada keupayaan kita untuk terus memelihara amanah suci ini,” katanya.

Beliau berkata dalam era Internet Kebendaan, Parlimen haruslah menjadi sebuah institusi yang "bersih tanpa cela ” dengan menjunjung prinsip ketelusan dan akauntabiliti secara masa nyata kerana demokrasi perlu menunaikan janjinya atau berdepan risiko kehilangan maknanya.

Johari berkata justeru itu, peranan AIPA amat penting dalam menyelaraskan undang-undang negara dengan rangka kerja serantau ASEAN sekali gus menjadikan aspirasi serantau sebagai realiti undang-undang domestik.

“Sama ada dalam perdagangan digital, kewangan lestari, teknologi hijau, keterjaminan makanan, tindakan bagi menangani perubahan iklim atau perlindungan sosial, semuanya memerlukan rangka kerja undang-undang yang membuka ruang inovasi sambil melindungi rakyat kita,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa Ahli Parlimen bukan sekadar penggubal undang-undang malah merupakan "pembina jambatan" yang dipertanggungjawabkan untuk membentuk keamanan, kestabilan dan kemajuan inklusif di seluruh rantau ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan