PUTRAJAYA, 18 Sept (Bernama) -- Sebanyak 93,231 permohonan bagi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) diluluskan setakat 31 Julai lepas dengan jumlah pembiayaan yang dijamin hampir RM22.14 bilion, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Menyifatkannya sebagai rekod tertinggi dalam sejarah, Nga berkata 67 peratus penerima adalah dalam kalangan pembeli rumah bernilai RM300,000 ke bawah, iaitu selari dengan agenda perumahan mampu milik kerajaan.
“Majoriti kelulusan diberikan kepada golongan B40 yang merupakan golongan sasar utama skim ini. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut bercadang memperluaskan inisiatif pembiayaan itu kepada golongan sasar menerusi pembiayaan secara sewa milik melalui SJKP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nga berkata perkara itu antara yang dibangkitkan menerusi mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) Bil.1 2025 dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, yang antara lain membincangkan mengenai penggubalan akta baharu dan ekosistem perumahan dalam negara.
SJKP merupakan inisiatif kerajaan bertujuan membantu individu tanpa pendapatan tetap, seperti pekerja gig dan peniaga kecil untuk memiliki rumah sendiri.
Melalui skim itu, kerajaan menyediakan jaminan pembiayaan perumahan bagi mereka yang sukar mendapatkan pinjaman melalui saluran konvensional.
Sementara itu, Nga berkata KPKT juga sedang giat melaksanakan sesi libat urus bagi penggubalan akta baharu seperti Akta Sewaan Kediaman dan pindaan serta penambahbaikan kepada akta sedia ada iaitu Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) dan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).
Mengenai Program Rumah Mesra Rakyat (RMR), Nga berkata sasaran unit RMR akan ditingkatkan sehingga 10,000 unit setahun dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk pihak swasta, kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO), mengambil kira-kira 13,502 permohonan yang masih menunggu tawaran.
Berkenaan status pelaksanaan rumah mampu milik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), beliau berkata setakat 30 Jun lepas, 98.8 peratus atau 493,874 unit rumah mampu milik telah disediakan dengan penyediaan baki 6,126 unit disasarkan untuk dicapai menjelang penghujung tahun ini.
Dalam pada itu, Nga turut menekankan kepentingan literasi kewangan dalam kalangan golongan sasar bagi meningkatkan akses pembiayaan, pengetahuan berkaitan pembiayaan serta amalan pengurusan kewangan yang baik.
-- BERNAMA