AM

MALAYSIA, KAZAKHSTAN ZAHIR KOMITMEN KUKUH KERJASAMA PERTANIAN, KETERJAMINAN MAKANAN

19/09/2025 03:21 PM

PUTRAJAYA, 19 Sept (Bernama) -- Malaysia dan Kazakhstan menzahirkan komitmen memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor pertanian, keterjaminan makanan dan teknologi pertanian moden.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan perkara itu dizahirkan semasa kunjungan hormat ke atas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu oleh Menteri Perdagangan dan Integrasi Republik Kazakhstan Arman Shakkaliyev di sini, 17 Sept.  

Kunjungan hormat itu sebahagian daripada siri lawatan Arman ke Malaysia sempena penyertaan beliau dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025.

“Pertemuan itu turut membincangkan potensi kerjasama dalam bidang agromakanan serta memperluas kolaborasi dalam teknologi pertanian termasuk peluang penyelidikan dan pembangunan antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan institusi penyelidikan di Kazakhstan.

“Malaysia dan Kazakhstan turut melihat potensi besar dalam sektor pengeluaran pertanian melalui pelaburan bersama bagi menangani isu sekuriti makanan global.

“Kunjungan ini juga dijangka dapat meneroka pembukaan akses pasaran bagi produk pertanian Malaysia ke Kazakhstan seperti produk komposit berasaskan susu atau telur serta durian,” menurut kenyataan itu. 

Pada pertemuan itu, Mohamad menjemput Arman dan Kazakhstan menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA) 2026 bagi menggalakkan perdagangan dua hala dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

Pada 2024, nilai perdagangan dua hala sektor pertanian antara Malaysia dan Kazakhstan mencecah RM201.42 juta.

Daripada jumlah itu, eksport Malaysia direkodkan pada RM200.98 juta merangkumi produk utama seperti kopi, koko, teh, rempah ratus serta produk makanan berasaskan pembuatan sementara import dari Kazakhstan ke negara ini terdiri daripada pelbagai produk makanan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan