AM

KSN CADANG RESOLUSI HASIL PENYELIDIKAN DIBUKUKAN UNTUK RUJUKAN

19/09/2025 03:27 PM

SEPANG, 19 Sept (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mencadangkan supaya semua resolusi hasil penyelidikan yang dibentangkan pada Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan sejak edisi pertama pada 2022 hingga keempat tahun ini dibukukan dan diterbitkan dalam satu jilid.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata perkara itu dikongsikan Shamsul Azri kepadanya selepas majlis perasmian persidangan itu semalam.

Berucap pada majlis penutup persidangan di sini hari ini, Azam berkata penerbitan tersebut akan menjadi dokumen berharga bukan sahaja untuk rujukan penjawat awam dan pembuat dasar malah sebagai bacaan rakyat serta arkib negara pada masa hadapan.

“Semalam ada berbincang dengan KSN dan dia bagi idea yang bagus (iaitu) elok kita bukukan. Dah empat kali persidangan dijalankan (patut) dibukukan dalam satu jilid.. kerana ini merupakan satu dokumen yang amat berharga yang perlu kita daftarkan sebagai satu bahan yang bukan sahaja untuk bacaan kita tetapi untuk bacaan semua rakyat dan menjadi arkib pada masa akan datang,” katanya.

Azam berkata langkah itu juga akan memastikan dapatan serta cadangan hasil penyelidikan berkenaan dapat dimanfaatkan secara menyeluruh bagi memperkukuh tadbir urus negara.

Terdahulu, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Muhammad Faris Abdullah ketika membentangkan resolusi persidangan berkata pasukan petugas khas bagi membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin perlu ditubuhkan semula.

Beliau berkata penubuhan itu bagi memastikan kesiapsiagaan petugas di sempadan dapat ditingkatkan dengan fasiliti berteknologi tinggi serta pemberian insentif bersesuaian untuk memperkukuh kawalan keselamatan negara.

Cadangan itu merupakan antara 11 resolusi yang dibentangkan pada persidangan edisi keempat yang melabuhkan tirai hari ini dan akan diserahkan kepada SPRM sebagai input untuk memantapkan agenda tadbir urus, integriti dan pencegahan rasuah negara.

Resolusi lain termasuk memperkenalkan sistem penjejakan sisa secara masa nyata di seluruh negara bagi mencegah pengurusan sisa haram, menggubal perundangan baharu untuk mengawal selia sukan elektronik (e-sukan) di peringkat nasional dan memperkukuh kerangka perundangan menerusi pelaksanaan kepolisan komuniti.

Turut dicadangkan ialah pemerkasaan peranan badan profesional dalam sektor alam bina dengan audit pematuhan kod etika serta sistem demerit selain meningkatkan pemantauan pelesenan industri pelancongan melalui pendigitalan.

Resolusi lain merangkumi pendedahan risiko perdagangan karbon biru kepada pembuat dasar dengan kerangka kawal selia lebih bersepadu, penggunaan ujian pergaulan tersirat (implicit association test) dan pendekatan berasaskan ketegasan diri (asssertiveness based approach) bagi menilai keberkesanan Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) serta pembangunan modul latihan komprehensif khusus untuk sektor pembuatan.

Selain itu, resolusi lain adalah mengenai usaha mengukuhkan integrasi teknologi automasi, audit bersepadu dan sistem pemantauan telus dalam sektor minyak dan gas.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan