KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) kini memberi kerjasama penuh kepada pihak polis berhubung siasatan insiden melibatkan sebuah van Rapid KL On-Demand (Taman OUG - Kuchai Lama) dengan seorang pejalan kaki di Jalan Kuchai Maju pada 14 Sept lepas.
Rapid Bus dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemandu yang terbabit telah digantung tugas serta-merta sementara siasatan dijalankan.
“Kami memahami keresahan orang ramai susulan kejadian berkenaan dan merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa atas kehilangan yang dialami,” menurut kenyataan itu.
Rapid Bus turut memberi jaminan bahawa keselamatan pengguna jalan raya dan orang awam sentiasa menjadi keutamaan, selain meneliti semula prosedur operasi dalaman bagi memastikan tahap keselamatan yang lebih tinggi dapat dipraktikkan dalam semua perkhidmatan.
Syarikat itu juga menghargai pandangan orang ramai dan memohon agar semua pihak memberikan ruang kepada siasatan yang sedang dijalankan.
-- BERNAMA