KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Kumpulan konvoi Global Sumud Flotila (GSF) Itali yang sebelum ini berlabuh di Teluk Portopalo di Capo Passero, perairan di selatan Itali kini meneruskan pelayaran menuju ke lautan Gaza.
Pengarah Media Muslim Care Malaysia Tuan Asri Tuan Hussein yang juga seorang daripada sukarelawan misi konvoi GSF berkata sebahagian besar flotila dari Itali itu dijangka bertemu dengan kumpulan flotila dari Greece di tengah-tengah pelayaran itu nanti.
“Kami dijangka bergerak pukul 10 pagi waktu tempatan (Itali), kemudian difahamkan sebahagian besar yang akan turut berlayar terdiri daripada kumpulan flotila dari Itali, manakala kumpulan dari Tunisia dan Sepanyol pula dijangka membuat sedikit persiapan sebelum mula berlayar.
“Semua flotila dari Sepanyol dan Tunisia sudah bergabung dan kami dari Itali akan berjumpa dengan kumpulan flotila Greece di tengah laut dan bergabung di suatu tempat yang belum dipastikan lagi sebelum bergerak menuju ke Gaza,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata pelayaran ke Gaza dijangka mengambil masa selama sembilan hingga 12 hari bergantung kepada keadaan laut dan cuaca.
Sebelum ini, kumpulan konvoi Itali itu sepatutnya bertemu dengan kumpulan flotila dari Sepanyol dan Tunisia dan menuju terus ke Perairan Gaza melalui Malta dan Greece, namun disebabkan gangguan cuaca, angin kencang dan ribut, kira-kira 40 flotila terpaksa berlabuh di Portopalo di Capo Passero, Itali.
Semua sukarelawan dari Malaysia bernaung di bawah panji Sumud Nusantara diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah penaung Sumud Nusantara melibatkan Malaysia, Indonesia, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Maldives, Filipina dan Thailand.
Pelayaran GSF merentasi Laut Mediteranean dengan membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pada akhir bulan ini.
Secara keseluruhan, GSF membabitkan lebih 1,000 sukarelawan yang menaiki hampir 70 bot dengan satu matlamat iaitu memecah kepungan terhadap Gaza.
Pelayaran keamanan GSF diharap mampu menarik perhatian kerajaan seluruh dunia untuk memberi tekanan kepada Israel sehingga genosid terhadap Gaza dihentikan dan bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk.
GSF menghimpunkan gabungan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah, dengan semua delegasi menekankan prinsip tanpa keganasan serta peranan kapal sebagai simbol solidariti masyarakat dunia terhadap krisis Gaza.
-- BERNAMA