KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan pada 10 Oktober, mungkin memberi tumpuan kepada dasar pelarasan halus, kata CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd.
Dalam satu nota hari ini, firma pelaburan global itu berkata bahagian paling sukar telah dilakukan sejak beberapa tahun lalu dan kerajaan mungkin akan menggunakan pembaharuan itu untuk langkah penyatuan fiskalnya.
“Kami menjangkakan tiada kejutan cukai yang besar dan kami berpendapat momentum perbaharuan akan diteruskan dalam bidang tadbir urus, jurang kekayaan, gaji, dan daya saing ekonomi, dan peralihan hijau,” katanya.
Walaupun tanpa pengumuman cukai utama, ia menjangkakan penyatuan fiskal Malaysia akan berterusan dengan defisit fiskalnya yang merosot 3.4 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2026 berbanding 3.8 peratus pada 2025.
“Peningkatan itu mencerminkan pungutan hasil yang berpotensi lebih tinggi di tengah-tengah langkah cukai sebelum ini seperti pengembangan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan pertumbuhan yang lebih rendah dalam perbelanjaan pembangunan dan peruntukan subsidi,” katanya.
Mengunjurkan keseimbangan fiskal keseluruhan yang lebih baik, ia menjangkakan hutang kerajaan akan mula pulih dengan nisbah penurunan kepada 63 peratus daripada KDNK pada 2026 (anggaran 2025: 64 peratus), satu langkah penting dalam usaha penyatuan fiskal kerajaan.
“Secara keseluruhannya, perkara utama yang perlu diberi perhatian dalam ucapan Belanjawan 2026 ialah butiran cukai karbon dan pelaksanaannya; rancangan selanjutnya bagi pembaharuan subsidi, seperti minyak masak dan diesel; dan pemberian tunai dan dasar sokongan sosial,” katanya.
Sementara itu, firma pelaburan itu berkata terdapat matlamat yang longgar akan menarik tumpuan kerajaan, walaupun pembaharuan subsidi yang besar telah dilaksanakan.
“Ini boleh termasuk pengedaran diesel di negeri-negeri di Borneo, kebocoran minyak masak bersubsidi dan subsidi diesel untuk industri perikanan.
“Kerajaan juga mungkin mengambil perhatian terhadap permintaan orang ramai supaya subsidi gula bagi pengilang ditentukur semula selaras dengan objektif pro-kesihatan,” tambahnya.
-- BERNAMA