DUNIA

BURSA MALAYSIA DIJANGKA MENDATAR DENGAN KECENDERUNGAN MENINGKAT MINGGU DEPAN

20/09/2025 10:06 AM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka terus mendatar dalam tempoh terdekat dengan kecenderungan meningkat disokong oleh minat belian berterusan dalam pasaran yang mencatatkan aliran rendah, kata penganalisis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pola sedemikian berpotensi mendorong kenaikan yang lebih mampan terutamanya apabila terdapat pemangkin baharu.

“Secara ringkasnya, indeks berada dalam fasa konsolidasi buat masa ini tetapi prospek jangka sederhana kekal positif dengan kecenderungan meningkat.

“Oleh itu, kami menjangka FBM KLCI akan diniagakan dalam julat 1,580 hingga 1,620 mata minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Bursa Malaysia ditutup pada 15 Sept (Isnin), merupakan cuti umum tambahan sempena Hari Malaysia pada 16 Sept (Selasa). Pada minggu dagangan yang singkat (17 hingga 19 Sept), pasaran ditutup bercampur-campur berikutan aktiviti pengambilan untung disebabkan kekurangan pemangkin baharu.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI merosot 1.90 mata kepada 1,598.23 daripada 1,600.13 dicatatkan minggu lepas. 

Indeks FBM Emas naik 33.71 mata kepada 11,896.43, Indeks FBMT 100 meningkat 23.54 mata kepada 11,647.31 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 73.08 mata kepada 11,963.37. 

Indeks FBM ACE menokok 113.16 mata kepada 4,915.43 dan Indeks FBM 70 naik 198.83 mata kepada 16,743.40.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 44.80 mata kepada 7,744.34 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 2.83 mata kepada 168.11, bagaimanapun, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 65.12 mata kepada 18,003.30.

Indeks Tenaga naik 12.42 mata kepada 755.32.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 9.29 bilion unit bernilai RM9.85 bilion daripada 12.52 bilion unit bernilai RM11.25 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 5.82 bilion unit bernilai RM9.06 bilion daripada 6.96 bilion unit bernilai RM9.98 bilion sebelum ini.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 2.13 bilion unit bernilai RM337.95 juta daripada 4.03 bilion unit bernilai RM660.45 juta pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 1.32 bilion unit bernilai RM443.50 juta daripada 1.52 bilion unit bernilai RM610.19 juta sebelum ini.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan